ADAT

Perkataan “adat” adalah pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Istilah ini sendiri memberi pengertian yang agak meluas dalam situasi satu bentuk perbuatan atau tingkah laku dan cara manusia berfikir yang telah wujud dan diamalkan begitu lama sehingga dianggap tradisi. Dari aspek lain, adat juga ditakrifkan sebagai suatu aturan dan cara hidup yang mencerminkan perlakuan harian, bermusim sama ada berdasarkan bulan atau tahun.
 
Adat juga dianggap sebagaisatu peraturan hidup merangkumi gagasan kebudayaan yang terdiri daripada nilai-nilai kebudayaan, norma, kebiasaan, kelembagaan dan hukum adat yang lazim dilakukan di sesuatu tempat. Adat dapat diteruskan dengan adanya informasi yang disampaikan dari generasi ke generasi, baik secara bertulis ataupun lisan. Sesebuah masyarakat juga menjalani kehidupan berdasarkan amalan nenek moyang mereka sebagai menyempurnakan atau melaksanakannya sebagai satu peraturan. Peraturan ini menjadi amalan sifat dan tabiat manusia semulajadi di mana lama-kelamaan telah menjadi kebiasaan atau satu kemestian yang diikuti secara turun-temurun bagi mengekalkan tradisi sesuatu kaum itu.
 
JWN mengambil langkah pro-aktif dalam melestarikan warisan terutama butiran adat melalui penyelidikan, program pengembangan, pengiktirafan serta pendokumentasian dan penerbitan. Butiran adat yang telah diiktiraf dan diisytihar berdasarkan seksyen 67. (2) di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] sehingga tahun 2018 adalah seperti:-
 

BIL

BUTIRAN

TAHUN ISYTIHAR

1.

Adat Mandi Anak Iban

2012

2.

Adat Perpatih

2012

3.

Adat Pijak Tanah

2012

4.

Adat Temenggung

2012

5.

Berkhatan / Bersunat Anak Anak Melayu

2012

6.

Buka Tanah Baru (Iban Sarawak)

2012

7.

Cukur Jambul / Naik Buai (Kaum Melayu)

2012

8.

Magavau

2012

9.

Melenggang Perut (Kaum Melayu)

2012

10.

Adat Berpantang Selepas Bersalin Masyarakat Melayu

2015

11.

Adat Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

2015

12.

Adat Perkahwinan Melayu

2015

13.

Adat Bersawah Tradisional Masyarakat Melayu

2018

14.

Adat Bertindik Masyarakat Melayu

2018

15.

Adat Merasi Masyarakat Melayu

2018

16.

Adat Naik Rumah Tradisional / Adat Meletak Kerja (Masyarakat Melayu)

2018

17.

Adat Istiadat Perkahwinan Masyarakat Adat Perpatih Naning Melaka

2018

18.

Adat Istiadat Pertabalan Kesultanan Melayu Semenanjung

2018

19.

Adat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri-Negeri

2018

20.

Upacara Monolob Gunung Kinabalu

2018

21.

Upacara Wangkang

2018

 
Antara butiran adat yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan:-
 
  1. Adat Mandi Anak Iban
 
Memberi mandi anak atau bayi bagi masyarakat Iban merupakan satu kemestian kerana hal ini dapat mengelakkan anak mereka ditimpa oleh kejadian yang tidak diingini semasa berada di kawasan sungai pada suatu hari kelak. Upacara ini diadakan sebaik sahaja anak itu diberi nama sebagai (1) satu simbolik kepada kehidupan masyarakat Iban yang mempercayai bahawa dewa segala sungai dan air yang digelar Sera Gindi akan melindungi anak tersebut. Ia juga dikatakan sebagai perjanjian dengan makhluk air supaya menyelamatkan anak tersebut daripada mendapat kecelakaan di dalam sungai seperti karam, lemas, dan sebagainya.
 
 
  1. Adat Pijak Tanah
 
 
Adat ini juga dipanggil adat jejak tanah atau turun tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Pijak tanah bermaksud seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.
 
  1. Adat Perkahwinan Melayu


Adat perkahwinan bagi masyarakat Melayu biasanya dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula dengan adat merisik, meminang, memanggil dan seterusnya adat perkahwinan. Keunikan adat dan budaya dalam masyarakat Melayu yang dipenuhi dengan tertib dan peraturan sebelum sesuatu majlis perkahwinan itu dilangsungkan. Dalam upacara perkahwinan biasanya membabitkan penglibatan ahli keluarga serta masyarakat setempat dan secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama dalam sesebuah masyarakat.
 
  1. Adat Istiadat Perkahwinan Masyarakat Adat Perpatih Naning Melaka

 
 
Adat masyarakat perpatih Naning Melaka mempunyai beberapa kelainan berbanding dengan adat perkahwinan dalam masyarakat Melayu secara amnya.Adat Perpatih Naning dikatakan lengkap dengan segala peraturan dan hukum adat seolah-olah merupakan sebuah perlembagaan kepada masyarakat yang mengamalkan adat ini. Wilayah yang banyak mengamalkan Adat Naning ini terletak di Melaka utara, melingkungi satu kawasan yang luasnya kira-kira 250 kilometer persegi. Wilayah ini mempunyai 25 buah mukim iaitu 22 buah di daerah Alor Gajah dan 3 lagi di daerah Jasin. Lazimnya, mereka ini hidup bersuku-suku yang juga membawa maksud keluarga kerana sistem Adat Naning Melaka dan Negeri Sembilan berasal dari teromba yang sama iaitu dari Minangkabau. Upacara perkahwinan bagi masyarakat perpatih Naning di Melaka ini kebiasaannya memakan masa yang panjang dan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.
 
  1. Upacara Monolob Gunung Kinabalu
 
 
Upacara Monolob Gunung Kinabalu ini merupakan salah adat warisan yang hampir tidak diamalkan lagi oleh penduduk setempat di sekitar Gunung Kinabalu. Upacara ini dapat dilihat dari 2 variasi yang berbeza melalui kepercayaan dan bahan-bahan upacara yang dilakukan oleh pengupacara dari komuniti Bundu Tuhan dan komuniti Kiau yang berada berhampiran sekitar Gunung Kinabalu. Upacara dilakukan sebelum perjalanan atau pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dimulakan. Upacara ini bertujuan untuk memohon restu atau izin dan jaminan keselamatan sepanjang pendakian. Mengikut kepercayaan upacara ini perlu diadakan bagi mempastikan pendaki atau penziarah tidak disalah taksir sebagai roh – roh orang mati yang mana akan menyebabkan mereka sesat dalam perjalanan atau mengalami musibah.