MAKANAN WARISAN
Makanan merupakan keperluan utama manusia bagi melakukan pelbagai aktiviti dan meneruskan hidup. Makanan juga dapat menggambarkan budaya dan identiti masyarakat setempat. Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan latar budaya berbeza memberikan kepelbagaian makanan dan juadah lazat  yang diwarisi sejak sekian lama. Makanan warisan telah lama menjadi identiti sesuatu kaum kerana keistimewaannya. Makanan warisan disukai bukan sahaja kerana rasa, tekstur tetapi juga aromanya yang membangkitkan selera. Resepi dan penyediaan makanan warisan merangkumi makanan berat, pencuci mulut mahupun kuih muih dan lauk pauk biasanya diturunkan dari satu generasi ke generasi secara lisan tanpa ada rekod dan dokumentasi yang sistematik. Pengetahuan berkaitan keunikan, falsafah, khasiat mahupun penyediaan makanan warisan itu sendiri semakin hilang ditelan zaman apabila tiada sesiapa yang mewarisi dan mempraktikkannya.  Justeru, JWN giat melaksanakan program pelestarian, pendokumentasian dan penyelidikan pelbagai aspek makanan warisan agar ia boleh dijadikan rujukan oleh pelbagai lapisan masyarakat. 
 
Sehingga tahun 2018, sebanyak 213 makanan warisan masyarakat Malaysia telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan.  Antara makanan yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan adalah:
 
  1. Manok pansoh
 
 
 
Manok Pansoh merupakan makanan yang terutama bagi masyarakat Iban dan Bidayuh ketika musim perayaan. Manok Pansoh atau ayam kampung dimasak dalam buluh. Buluh yang digunakan untuk memasak ayam tersebut memberikan satu rasa tersendiri kepada makanan tersebut.
Manok Pansoh sangat terkenal dan sesuai dimakan ketika sarapan pagi, tengahari, makan malam mahupun pada bila-bila masa. Ia akan lebih sedap jika dimakan bersama nasi pulut atau lemang. Ia adalah makanan yang perlu dicuba apabila berkunjung ke Sarawak.
 
  1. Pulut Kukus Dalam Periuk Kera
 
 
Pulut Kukus Periuk Kera merupakan salah satu daripada makanan Orang Asli Semelai di Malaysia. Makanan ini amat unik kerana pulut dimasukkan ke dalam periuk kera dan kemudiannya dikukus sebelum dimakan. Pada masa dahulu, masyarakat Orang Asli menggunakan beras pulut padi huma untuk mengukus pulut dalam periuk kera.Penggunaan periuk kera yang merupakan tumbuhan liar menunjukkan hubungan yang erat antara masyarakat Orang Asli dengan alam semulajadi.
 
  1. Opok-opok
 
 
Opok-opok merupakan sejenis makanan seperti keropok yang amat rangup. Ianya merupakan makanan tradisional dan hanya ditemui di sebelah Pantai Timur iaitu di negeri Kelantan. Proses membuatnya remeh dan memerlukan kepakaran yang tinggi ketika proses membakar. Membakar opok-opok tidak memerlukan minyak tetapi hanya dibakar di atas bara api.
 
  1. Kuih Cincin
 
 
Kuih cincin merupakan kuih tradisional masyarakat di negeri Sabah. Kuih ini dibiarkan kering sebelum digoreng dengan minyak yang panas. Kuih cincin diperbuat daripada gula, gula nipah/gula apong, tepung beras, minyak masak, air dan gula Melaka. Adalah amat penting bagi memastikan kuih tersebut kering secukupnya bagi mengelakkan minyak terpercik keluar ketika menggoreng. Kuih ini mempunyai rasa yang manis dan sedikit masin.
.
  1. Kari Devil (Kari Ayam Debal)
 
 
 Kari Devil atau turut dikenali sebagai Kari Ayam Debal merupakan makanan yang popular dalam kalangan masyarakat Portugis yang menetap di Melaka. Kari Devil merupakan sejenis menu ayam yang di masak dengan menggunakan bahan seperti sos cili, lengkuas, cuka dan buah kemiri (buah keras). Di samping itu, proses memasak kari ini tidak menggunakan santan pekat, namun teksturnya tetap pekat kerana mempunyai buah keras sebagai ejen pemekat.