PERUBATAN TRADISIONAL
 
Perubatan tradisional merupakan kaedah perubatan yang telah memberi sumbangan penting dalam penjagaan kesihatan manusia sebelum munculnya perubatan moden.  Perubatan tradisional yang asli adalah tanpa menggunakan bahan-bahan kimia seperti perubatan moden. Kepelbagaian alam semulajadi telah dijadikan salah satu sumber utama dalam kaedah perubatan tradisional.Perubatan ini banyak menggunakan tumbuh-tumbuhan dan herba.
 
Kegunaan tumbuhan dan herba telah lama menjadi amalan dalam setiap bangsa yang terdiri daripada berbagai kelompok kaum sama ada masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Penggunaan perubatan tradisional juga telah terbukti secara saintifik dan kaedah alternatif ini mempunyai banyak manfaat tersendiri. Seiring dengan perkembangan perubatan moden, perubatan tradisional kini disyorkan sebagai salah satu rawatan alternatif/rawatan pelengkap untuk melegakan penderitaan dan meningkatkan keberkesanan perubatan moden.
 
Sehingga tahun 2018, perubatan tradisional yang telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan setakat ini adalah seperti berikut:-
 

BIL

BUTIRAN

TAHUN ISYTIHAR

1.     

Bekam

2012

2.     

Bidan Kampung

2012

3.

Bomoh Patah

2012

4.

Main Peteri

2012

5.

Ulik Mayang

2012

6.

Urut Tradisional

2012

  
  1. Main Peteri
  
Main Peteri atau Main Teri merupakan persembahan perubatan tradisi yang popular di negeri Kelantan untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus, hilang semangat, masalah keseimbangan tenaga dalaman dan juga berkaitan gangguan angin ‘keinginan‘ dan kehendak.  Antara watak utama dalam Main Peteri ialah Tok Peteri dan Tok Minduk dan merupakan perantara yang menghubungkan manusia dengan makhluk ghaib. Sesi perubatan ini diiringi dengan iringan muzik seperti rebab, serunai, gong, gendang, geduk, canang, dan juga kesi. Uniknya persembahan ini menyelitkan elemen-elemen persembahan seperti doa, tarian, nyanyian, lakonan dan jampi mantera.
 
  1. Ulik Mayang
 
 
Ulil Mayang adalah amalan perubatan di negeri Terengganu dan merupakan suatu proses penyembuhan ke atas pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus  sama ada  daripada laut ataupun darat. Upacara ini melibatkan seorang bomoh yang bertindak sebagai  pengawal dan medium perhubungan  antara makhluk halus dan manusia dalam mengubati pesakit. Bahan  penting yang harus disediakan adalah mayang pinang yang lebat bunganya di samping kemenyan untuk mengasap mayang tersebut setelah disapukan dengan minyak kelapa. Upacara  ini dilakukan di kawasan pesisiran pantai pada waktu malam.  Bomoh tidak akan mengubati pesakit pada malam Jumaat kerana ia adalah salah satu pantang larang yang mesti diikuti.
 
 
  1. Bekam
 
 
Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud mengeluarkan angin dalam badan atau pelepasan darah kotor daripada badan.  Dalam bahasa Arab pula, ia dikenali sebagai al-Hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan. Dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai cupping, orang Cina mengenalnya sebagai gua-sha.
Bekam merupakan perubatan alternatif yang dapat memberikan keseimbangan tubuh badan. Terdapat beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur.
 
  1. Bomoh Patah
 
Bomoh merujuk kepada ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu dahulu kala. Ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu turut dikenali sebagai dukun, atau pawang. Patah tulang sering dirujuk kepada bomoh tulang. Masyarakat Melayu lebih yakin dengan keupayaan kaedah tradisional berbanding moden dalam memulihkan patah tulang. Selain dikenali sebagai bomoh tulang mereka juga dikenali sebagai bomoh patah. Kaedah yang digunakan ialah urutan ke atas bahagian yang sakit dengan disertai bacaan tertentu yang sering diambil daripada al-Quran.
 
  1. Urut Tradisional
 
 
Urut  adalah rawatan secara tradisional dalam masyarakat Timur. Urut sudah diketahui sejak berzaman sebagai satu alternatif dalam dunia perubatan. Bagaimanapun, urut sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana ia juga boleh memudaratkan jika tidak mengikut prosedur sepatutnya. Urut tradisional Melayu menggunakan pendekatan mengurut seluruh anggota badan dan melalui tiga teknik iaitu semasa meniarap, terlentang dan duduk bersila. Ketiga-tiga cara ini memberikan kelegaan dan ketenangan kepada pesakit sehingga menyembuh dan memulihkan kembali perjalanan darah dalam tubuh.
 
 
  1. Bidan Kampung
 
 
Dalam masyarakat kampung tradisional, bidan ialah wanita yang berpengalaman dalam hal ehwal menguruskan wanita mengandung dan bersalin. Mereka mengetahui tentang perubatan tradisional yang banyak menggunakan tumbuhan herba. Dalam zaman moden ini, bidan telah diserap dalam perkhidmatan kesihatan moden dan dilantik dalam jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan setelah mendapat latihan perbidanan di sekolah jururawat  dan dikenali sebagai bidan kerajaan. Bidan yang tidak dilantik kerajaan pula, biasanya dikenali sebagai bidan kampung. Bidan adalah orang penting untuk upacara atau masalah yang berkait dengan wanita mengandung, kelahiran, bayi, melenggang perut, naik buaian/ endoi, cukur jambul, sunat untuk bayi perempuan menguruskan hal bayi songsang, tumpah darah, keguguran, mandul serta urut sebelum dan selepas bersalin.