BANGUNAN HONGKONG & SHANGHAI BANK (HSBC) MELAKA

BANGUNAN HONGKONG & SHANGHAI BANK (HSBC) MELAKA

Bangunan lama Hong Kong and Shanghai Bank Corporation (HSBC) yang terletak di Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka adalah sebuah bangunan zaman British yang dibina khas sebagai sebuah bank sekitar tahun 1912.Bangunan ini direka bentuk dengan gaya klasikal sama seperti lain-lain bangunan HSBC pada era tersebut. Sebelum pembinaan bangunan ini, Hong Kong and Shanghai Bank Corporation beroperasi di sebuah ruang dalam Bangunan Stadhuys yang disediakan secara percuma oleh kerajaan Biritish dari tahun 1909 sehingga 1912.

Guna ruang untuk bangunan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tingkat bawah dan tangkat atas.Tingkat bawah bangunan adalah merupakan pejabat operasi bank, manakala tingkat atas bangunan adalah kediaman pengurus dan kakitangan bank yang terdiri dari pada warga asing.Pada ketika dahulu, tingkat atas bangunan tersebut dilengkapi dengan beberapa buah bilik besar yang berfungsi sebagai dapur, bilik makan serta bilik mandi gunasama.Pada tahun 1920an, satu blok tambahan (annex) telah dibina pada sudut kiri di bahagian belakang bangunan utama yang bersambung dengan bilik makan ditingkat atas. Ketika pembinaannya, lokasi bangunan ini terletak di pinggir muara Sungai Melaka.Di bahagian belakang bangunan tersebut adalah beberapa buah gudang yang membarisi sepanjang jalan yang kini dikenali sebagai Jalan Quayside.Walaubagaimanapun kawasan muara tersebut telah ditambak menjadikan pemandangan di sekitar bangunan tersebut berbeza daripada pemandangan asal

Selain itu, hasil kajian ekskavasi yang dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara, pembinaan bangunan ini terletak di atas kubu atau runtuhan Bastion Hendrik Federick, Kota Melaka yang dibina oleh Portugis pada kurun ke-16. Bukti pembinaan dapat dilihat dari kesan ekskavasi arkeologi yang dilaksanakan di bahagian utara bangunan, di mana unjuran temboknya melintasi bangunan ini.Pada tahun 2007, bangunan ini telah dibeli oleh Jabatan Warisan Negara untuk dijadikan sebagai Pejabat Jabatan Warisan Negara Wilayah Selatan dan Galeri Kota Melaka.

Pada masa kini, bangunan ini sedang menjalani kerja-kerja pemuliharaan dan naiktaraf untuk dijadikan sebagai Galeri Warisan Kota Melaka.Kerja-kerja pemuliharaan dan naiktaraf tersebut telah bermula pada 7hb November 2017 dan dijangka siap pada tahun 2019. Skop kerja utama bagi kerja-kerja pemuliharaan dan naiktaraf adalah merangkumi aspek hiasan dalaman dan pengisian untuk tujuan galeri serta kerja-kerja baikpulih elemen bangunan yang telah rosak seperti dinding berlepa, jenang tingkap, pendawaian dalaman, dan siling.Semua kerja yang dilaksanakan adalah berpandukan kepada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan memandangkan tapak tersebut telah diwartakan sebagaiTapak Warisan pada 24hb Julai 2017.

 

 

 

Keadaan bangunan sekitar tahun 1912

 

Keadaan bangunan sekitar tahun 2015

 

 

 

 

 

Kerja-kerja scrap window frame dan hacking dinding dalam yang rosak untuk tujuan baik pulih.

 

 

Kerja-kerja pemasangan internal design partition wall

 

Kerja-kerja pemasangan PVC pipe untuk fire protection system di galeri utama aras satu

 

 

Lawatan dan pemeriksaan di tapak oleh pihak ICU dan JWN bersama pihak perunding dan kontraktor MABS.