Pemuliharaan Bangunan Kolonial

Pemuliharaan Bangunan Kolonial

Selain dari rumah tradisional di kampung-kampung dan rumah kedai Cina di pekan mahu pun bandar, bangunan kolonial adalah satu lagi kategori bangunan yang mendominasi lanskap seni bina di Malaysia. Semenjak penjajahan Portugis dan Belanda di Melaka seterusnya Inggeris di seluruh negara sehingga mencapai kemerdekaan, Malaysia mempunyai koleksi bangunan kolonial yang sangat kaya, bervariasi dan unik. Seni bina kolonial kebanyakannya adalah untuk bangunan pentadbiran kerajaan, bangunan awam, sekolah dan struktur serta  monumen seperti jambatan dan menara jam.


Antara bangunan kolonial yang telah dipulihara atau dibaik pulih adalah Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Besar (GPO) dan Ibu Pejabat JKR (PWD) yang semuanya terletak di kawasan Dataran Merdeka; bangunan Muzium Perak di Taiping, bangunan Sekretariat (SUK) di Seremban;   bangunan Stadthuys di Melaka, Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan dan Kubu Margherita di Kuching. Walau pun bangunan kolonial umumnya direka bentuk arkitek atau jurutera kolonial namun ianya dibina oleh orang tempatan menggunakan teknik binaan tempatan, bahan tempatan dan mengambil kira keadaan cuaca tempatan. Walau pun sebahagiannya direka bentuk sepenuhnya dengan gaya seni bina Eropah seperti Klasikal, Gothic, Tudor dan Art-deco, sebahagiannya adalah gabungan seni bina tempatan atau pengaruh seni bina Cina sehingga ia menjadi seni bina unik yang dikenali sebagai eclectic atau hybrid.  


Maka itu, pemuliharaan bangunan kolonial tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan teknik konservasi yang diguna pakai di Eropah walau pun reka bentuk dan gaya seni binanya kelihatan sama. Ini bukan sahaja disebabkan perbezaan iklim Eropah dan iklim tropika tetapi kerana teknik pembinaan dan bahan binaannya juga yang lazim sangat berbeza. Oleh itu, kerja pemuliharaan ini memerlukan penyelidikan saintifik bagi memastikan masalah, penyakit dan kecacatan yang dialami setiap bangunan walau pun ianya bangunan dengan seni bina dan zaman yang sama kerana masalah lokasi (locality), sumber dan kualiti bahan adalah berbeza. Sebagai contoh, walau pun semua kebanyakan bangunan kolonial di Malaysia menggunakan mortar dan plaster kapur tetapi sumber, jenis dan kualiti kapur adalah berbeza-beza. Kapur yang diperolehi dari gunung batu kapur di Ipoh adalah sangat berbeza daripada kapur dari sumber di tempat lain atau kapur yang disediakan dari cengkerang laut. Justeru, sampel plaster kapur asal perlu dihantar ke makmal mineral untuk mengenal pasti komposisi campuran plaster tersebut. Setelah itu, sampel kapur baru dibuat berdasarkan nisbah campuran yang sama dengan plaster asal. Namun sampel ini tidak semestinya yang terbaik kerana sumber dan kualiti kapur yang digunakan sekarang adalah berbeza. Maka itu, kerja pemuliharaan juga akan melibatkan perekodan semua maklumat yang diperolehi ini untuk rujukan akan datang. 

 

Muzium Perak, Taiping, Perak Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor

 

Kubu Margherita, Kuching, Sarawak. Gedung Raja Abdullah, Klang, Selangor

  

Gereja St George, Pulau Pinang Bangunan Lama HSBC, Melaka.