PERUBATAN TRADISIONAL

 

Perubatan tradisional merupakan perubatan yang asli tanpa menggunakan bahan-bahan kimia seperti perubatan moden. Perubatan tradisional banyak menggunakan tumbuh-tumbuhan dan herba. Perubatan tradisonal merupakan kaedah perubatan yang penting sebelum munculnya perubatan moden seperti klinik dan hospital. Perubatan tradisional yang telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015 ialah:

 

  1. Main Peteri

Main Peteri atau Main Teri merupakan persembahan perubatan tradisi yang popular di negeri Kelantan. Ianya dilakukan bagi mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus, hilang semangat, masalah keseimbangan tenaga dalaman dan juga berkaitan gangguan angin ‘keinginan’ dan kehedak. Perubatan ini dipercayai mempunyai percampuran unsur-unsur Islam dan unsur magis. Persembahan ini sangat unik kerana menyelitkan elemen-elemen persembahan seperti doa, tarian, nyanyian, lakonan dan jampi mantera.

 

 

  1. Ulik Mayang

Perubatan melalui Ulik Mayang  merupakan upacara ritual yang diamalkan di negeri Terengganu.  Ulik Mayang ialah suatu proses penyembuhan ke atas pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus  sama ada  dari laut ataupun dari darat.  Upacara ritual ini melibatkan seorang bomoh yang bertindak sebagai  pengawal dan medium perhubungan  antara mahkluk halus dan manusia dalam mengubati pesakit.  Bahan  penting yang harus disediakan adalah mayang pinang di samping kemenyan untuk mengasap mayang tersebut setelah disapukan dengan minyak kelapa. Bomoh akan membaca mantera sambil mengasap mayang sehinggalah mayang itu  bergerak sendiri atau ‘hidup’, ini menandakan semangat  yang dipuja telah meresap masuk ke dalam mayang.

 

 

  1. Bekam

Bekam merupakan perubatan alternatif yang dapat memberikan keseimbangan bagi tubuh badan. Terdapat beberapa jenis bekam yang diamalkan seperti bekam angin, bekam darah, bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur. Waktu berbekam yang paling baik adalah pada pertengahan bulan kerana ketika ini darah toksik berkumpul. Namun untuk mengubati penyakit ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

 

  1. Bomoh Patah

 

Bomoh patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampi yang diambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mantera-mantera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan adalah seperti minyak, daun mengkuang dan sebagainya. Patah tulang sering dirujuk kepada bomoh patah. Masyarakat Melayu lebih yakin dengan kaedah tradisional berbanding moden dalam memulihkan patah tulang. Kaedah yang digunakan ialah urutan ke atas bahagian yang sakit dengan disertai bacaan tertentu yang diambil daripada Al-Quran.

 

 

  1. Urut Tradisional

Urut  adalah rawatan secara tradisional bagi masyarakat Timur. Ia amat baik bagi merawat apa juga penyakit. Urut sudah diketahui sejak berzaman sebagai satu alternatif dalam dunia perubatan. Selain mengatasi masalah terseliuh serta membetulkan perjalanan darah, urut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki. Bagaimanapun, urut sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana ia juga boleh memudaratkan jika tidak mengikut prosedur sepatutnya.

 

 

 

  1. Bidan Kampung

Dalam masyarakat kampung tradisional, bidan kampung ialah wanita yang berpengalaman dalam menguruskan wanita mengandung dan bersalin. Dalam zaman moden ini, bidan telah diserap dalam perkhidmatan kesihatan moden dan dilantik oleh Kementerian Kesihatan setelah mereka mendapat latihan perbidanan di Sekolah Jururawat dan dikenali sebagai bidan kerajaan. Bidan yang tidak dilantik oleh kerajaan pula, biasanya dikenali sebagai bidan kampung. Bidan merupakan orang penting untuk upacara atau masalah yang berkait dengan wanita mengandung, melenggang perut, menguruskan bayi songsang, tumpah darah, keguguran, menyambut kelahiran bayi, urut selepas bersalin, naik buaian / berendoi dan sunat untuk bayi perempuan.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Layout Style
Select menu