Jabatan Warisan Negara (JWN) mempunyai pelbagai bidang dan komponen seperti warisan tidak ketara, arkeologi, konservasi, penguatkuasaan dan lain-lain. Namun begitu, hampir semua bidang ini akan melibatkan kajian penyelidikan serta penulisan laporan dan penyelidikan. Hasil laporan dan penyelidikan yang berkualiti akan memastikan ia dapat dikongsikan sebagai rujukan pelbagai pihak.      

Bagi meningkatkan pengetahuan kakitangan JWN dalam penyediaan laporan penyelidikan yang berkesan, Bahagian Warisan Tidak Ketara (BWTK) telah menganjurkan ‘Kursus Penyediaan Laporan dan Kaedah Penulisan Laporan Penyelidikan’. Kursus ini telah berlangsung pada 8 Ogos 2019 yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia, (MaTiC), Jalan Ampang Kuala Lumpur. Penceramah jemputan untuk kursus ini adalah Asst. Prof. Dr. Norzalifa bt. Zainal Abidin, daripada Kuliyyah of Architecture and Environmental Design, International Islamic University Malaysia (UIAM).

Banyak perkara menarik yang telah dikongsikan oleh penceramah sepanjang kursus ini berlangsung termasuklah; kaedah mencari sumber atau bahan dan tips untuk menyediakan dan merangka sesuatu penyelidikan, cara penulisan laporan yang betul serta format dalam menghasilkan laporan penyelidikan yang berkualiti. Berdasarkan perkongsian ilmu tersebut, para peserta diberi tugasan berkumpulan supaya dapat mempraktikkannya dan seterusnya membentangkan hasil perbincangan tersebut pada sesi petang.

Kursus ini ternyata dapat memberi dan menambah pengetahuan baru kepada para peserta dalam menghasilkan laporan penyelidikan yang betul. Semoga ilmu ini dapat digunapakai dalam menjadikan JWN sebagai pusat kajian dan rujukan warisan budaya negara.