Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Friday - July 21, 2017

Weather: 25°C

SENARAI OBJEK WARISAN KETARA WARISAN KEBANGSAAN 2015

AMBER MERIT PILA

Batu arang atau coal adalah salah satu punca bahan api fosil yang telah dilombong secara industri di rantau ini mulai tahun 1847 di Labuan, 1906 di Silimpodon dan 1913 di Batu Arang, sebelum bermulanya industri pengeluaran cecair dan gas petroleum pada awal abad ke dua puluh. Kini kebanyakan perlombongan batu arang bertumpu kepada lombong batu arang di Sarawak Tengah. Lombong batu arang Merit Pila di Kapit, Sarawak Tengah merupakan lombong batu arang terbesar di Malaysia, ketika ini membekalkan lebih 50% sumber batu arang negara. Batu arang ini ditemui di dalam batuan Formasi Nyalau berusia 20-24 juta tahun. Seperkara yang menarik adalah kehadiran banyak amber atau damar pokok terfosil dalam longgokan batu arang di Merit Pila. Amber berasal daripada perkataan Arab anbar dan longgokan amber dikenali sebagai amberite. Ketulan amber paling besar ditemui di Merit Pila mempunyai berat 70kg yang kini telah dipecah tiga dan disimpan di tiga buah muzium berasingan, iaitu di Muzium Geologi Kuching, Muzium Geologi Ipoh dan Muzium Stuttgart. Ketulan amber ini dipercayai merupakan ketulan amber terbesar pernah dijumpai di dunia.

KASETERIT SIMPANG PULAI

Dalam singkapan sejarah awal pembangunan Semenanjung Tanah Melayu, bijih timah telah memainkan peranan utama sebagai sumber komoditi asas yang meningkatkan ekonomi negara dan ekonomi rakyat. Industri perlombongan bijih timah bermula seawal tahun 1820an dengan kemasukan pelombong daripada Negeri China ke Negeri Perak. Pada pertengahan abad ke dua puluh, Lembah Kinta merupakan pengeluar utama bijih timah dunia. Timah atau Stannum (50Sn) adalah salah satu unsur logam dan mineral bijih timah utama yang di lombong di serata dunia adalah mineral kassiterit atau Cassiterite (SNO2). Selain dalam mineral kassiterit, unsur timah juga kadangkala ditemui dalam mineral sulfida Stannit atau Stannite (Cu2FeSnS4), dalam mineral silikat Malayait atau Malayaite (CaSnO[SiO4]) atau sekali sekala bijih timah boleh wujud sebagai mineral unsur asli Stannum (Sn). Di Lembah Kinta kebanyakan bijih timah dilombong sebagai longgokan bijih timah plaser iaitu butiran atau pecahan kecil bijih timah yang terperangkap di bahagian dasar longgokan pasir. Namun demikian terdapat beberapa syarikat yang mengusahakan lombong bijih timah primer iaitu pada lod bijih timah di dalam batuan keras. Mineral kasiterit di dalam lod ini lazimnya bersaiz lebih besar dan lebih berat. Sampel bijih timah seberat 87kilogram ini merupakan salah satu sampel bijih timah terbesar di dunia. Sampel ini ditemui di dalam sebuah lod bijih di Keramat Pulai, berhampiran Ipoh. Kasiterit ini merupakan warisan mineral terbesar di dunia dan terpenting dalam sejarah industri perlombongan bijih timah di Malaysia.

SERPENTINIT POS BROOKE

Detik terpenting dalam sejarah geologi Malaysia adalah peristiwa penggabungan dua blok (kepingan) tektonik iaitu Blok Sibumasu dan Blok Malaya Timur yang telah membentuk Semenanjung Malaysia dan Banjaran Titiwangsa sekitar 220 juta tahun lalu (Late Triassic). Sehingga ke usia 290 juta tahun lalu (Early Permian) Blok Sibumasu yang diwakili oleh negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia masih merupakan sebahagian daripada Superbenua Gondwana beriklim sejuk dipisahkan oleh Lautan PaleoTethys yang berkelebaran ribuan kilometer daripada Blok Malaya Timur yang sudah berada di kawasan tropika. Sekitar 290 juta tahun lalu Lautan MesoTethys terbentuk memisahkan Blok Sibumasu daripada Gondwanaland dan menolak blok ini ke arah Blok Malaya Timur. Pergerakan ini menyebabkan Lautan PaleoTethys menjadi semakin sempit serta cetek dan akhirnya pertembungan awal berlaku antara Blok Sibumasu dan Blok Malaya Timur sekitar 260 juta tahun lalu (Late Permian). Pertembungan ini berlangsung selama lebih 40 juta tahun. Akibat pertembungan ini, pelbagai jenis batuan pelbagai usia yang mewakili ribuan kilometer dasar Lautan PaleoTethys terhimpit – tersesar, terlipat dan termetamorf meninggalkan satu jalur selebar hanya 10-30km yang terkenal di rantau ini sebagai Zon Sutura Bentong-Raub. Garis Sutura Bentung-Raub adalah sebahagian daripada jalur pertembungan kerak bumi rantau yang dapat dikesan mulai di baratdaya China, melalui Myanmar, Thailand dan Semenanjung Malaysia sebelum berakhir di Sumatra. Dalam zon sutura ini pelbagai bukti kerak lautan termetamorf ditemui, antaranya yang terpenting adalah penemuan serpentinit dan rijang (chert) yang boleh memberi tafsiran asalan laut dalam. Dalam hal ini serpentinit ditafsirkan terhasil daripada proses metamorfisme terhadap batuan volkano laut dalam. Beberapa longgokan serpentinit telah direkodkan di sepanjang Zon Sutura Bentong-Raub, antara yang utama termasuklah serpentinit Pos Brooke (Mukim Lojing, Gua Musang, Kelantan), Cheroh (Daerah Raub, Pahang) dan Bukit Rokan (Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan). Serpentinite (Mg3Si2O5(OH)4) merupakan semi-precious stone berwarna hijau kekuningan hingga hijau gelap dan seringkali wujud sebagai varieti Antigorite, Lizardite dan Chrysotile. Serpentinit dalam Zon Sutura Bentong-Raub mempunyai nilai ekonomi yang rendah kerana kehadiran terlalu banyak retakan di dalamnya. Bagaimanapun kewujudan serpentinit merupakan objek warisan terpenting daripada sekian banyak batuan lain dalam Zon Sutura Bentong-Raub yang membuktikan berlakunya pertembungan antara Blok Sibumasu dan Blok Malaya Timur dalam lipatan sejarah bumi.

DIAMIKTIT GLASIER SAMUDERA DENGAN STRUKTUR BATU JATUH, LANGKAWI

Dalam lipatan sejarah geologi, Semenanjung Malaysia ditafsirkan terbentuk hasil pertembungan dua buah blok (kepingan) tektonik yang mempunyai asalan berbeza. Bahagian barat Semenanjung Malaysia dikaitkan dengan Blok China Selatan-Burma-Malaya-Sumatra (SIBUMASU) yang berasal dari pecahan Superbenua Gondwanaland di Hemisfera Selatan, manakala bahagian timur Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada blok Indochina. Pada zaman Karbon Akhir (Late Carboniferous) – Perm Awal (Early Permian) bumi mengalami penyejukan global hinggakan sebahagian besar Superbenua Gondwanaland diliputi glasier tebal. Ketika bumi kembali panas sebahagian glasier mencair dan glasier terapung menjatuhkan batu yang terperangkap di dasarnya ke dasar laut. Hasilnya terbentuk batuan sedimen berbutir halus mengandungi bungkah batuan asing pelbagai asalan, saiz dan bentuk yang dinamakan diamiktit glasier samudera (marine glacial diamictite) dengan fitur unik yang dinamakan struktur batu jatuh (dropstone). Kehadiran batuan begini dalam Formasi Singa di kepulauan Langkawi menjadi bukti kukuh bahawa bahagian barat Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada Gondwanaland. Diamiktit asalan glasier berusia Perm Awal (~290 juta tahun) daripada Pulau Intan ini umpamanya mengandungi pelbagai bungkah batuan berusia lebih tua termasuk bungkah granit yang ditafsirkan berasal daripada induk Superbenua Gondwanaland, kerana granit belum pernah terbentuk di bumi Malaysia sebelum usia tersebut.

FOSIL BRAKIOPOD IKLIM SEJUK LANGKAWI

Dalam lipatan sejarah geologi, Semenanjung Malaysia ditafsirkan terbentuk hasil pertembungan dua blok (kepingan) tektonik yang mempunyai asalan berbeza. Bahagian barat Semenanjung Malaysia dikaitkan dengan Blok China baratdaya-Burma-Malaya-Sumatra (SIBUMASU) yang berasal dari pecahan Superbenua Gondwanaland di Hemisfera Selatan, manakala bahagian timur Semenanjung Malaysia merupakan sebahagian daripada blok Indochina. Pada zaman Karbon Akhir (Late Carboniferous) – Perm Awal (Early Permian) bumi mengalami penyejukan global hinggakan hampir keseluruhan Gondwanaland diliputi glasier tebal. Sibumasu yang berada di pinggir utara Gondwanaland juga menerima kesan mendalam akibat peristiwa penyejukan global ketika itu. Pada zaman cuaca melampau ini haiwan yang bentos (hidup melekat di dasar lautan) menjadi sangat endemik dan terhasilnya polarisasi hidupan bentos yang amat ketara. Antara hidupan yang taburannya terhad di pinggir Gondwanaland (beriklim sejuk) ketika Perm Awal adalah kumpulan brakiopod daripada genera seperti Sulciplica, Trigonotreta, Lamniplica, Bandoproductus, Arctitreta, Kasetia dan Streptorhynchus. Kehadiran fosil daripada genera ini dalam batu lumpur hitam berusia Perm Awal (~285 juta tahun lalu) di Langkawi mengukuhkan lagi bukti bahawa Blok Sibumasu ketika itu berada di pinggir Gondwanaland . Himpunan fosil ini kadangkala dijumpai bersama batu lumpur berpebel (diamiktit) asalan glasier samudera dan fosil fauna brakiopod Kilim ini merupakan warisan fosil amat penting bagi menentukan kedudukan paleogeografi Langkawi yang berhampiran Gondwanaland dan paleoiklim Langkawi yang amat sejuk 285-300 juta tahun lalu.

FOSIL POKOK KAYU POS BELAU

Penemuan fosil kayu terpetri (pterified wood) adalah sesuatu yang luar biasa apatah lagi bila fosil ini ditemui dalam batuan yang sangat tua sehingga ~275 juta tahun lalu (akhir Perm Awal). Tambah menarik lagi fosil paku-pakis berpokok Araucarioxylon ini ditemui dalam Zon Sutura Bentong-Raub. Walaupun teori banyak menyatakan bahawa pertembungan antara Blok Sibumasu dan Blok Malaya Timur bermula pada masa Perm Akhir (~260 juta tahun) dan berakhir pada masa Trias Akhir (~220 juta tahun), namun penemuan fosil pokok ini menunjukkan bahawa bahawa Lautan PaleoTethys sudah mula mencetek dan membentuk pulau-pulau kecil yang dipenuhi pelbagai flora dan fauna lebih awal daripada itu. Batuan sedimen daratan di salah satu pulau ini direkodkan sebagai Gunung Ayam yang dapat kita lihat pada hari ini. Akibat pertembungan dua blok tektonik ini semua batuan yang terbentuk dalam Lautan PaleoTethys terkumpul bersama dalam Zon Sutura Bentong-Raub. Antaranya termasuklah batuan volkanik dan rijang laut dalam, batu pasir, syal dan batu kapur laut cetek serta batu pasir dan konglomerat daratan. Fosil pokok kayu Araucarioxylon Pos Belau ini merupakan warisan fosil amat penting dalam merekodkan sejarah pembentukan bumi Semenanjung Malaysia.

FOSIL DAUN PAYA PEDA

Lapisan fosil daun Paya Peda, Terengganu adalah lapisan fosil berusia Karbon Akhir (~315 juta tahun) yang paling tebal dengan himpunan flora paling kaya di Malaysia. Fosil-fosil daun pelbagai spesies ini merupakan bukti pengkolonian tanah daratan terbesar dan tertua di Malaysia. Usia lapisan tebal fosil daun ini lebih tua daripada fosil flora Bukit Dendong (Perm Akhir), manakala fosil flora paling tua berusia Karbon Awal semuanya terawet dalam batuan sedimen lautan. Antara genera utama fosil flora Paya Peda adalah daun Gigantopteris, Tingia, Cordaites, Archaeopteris, Taeniopteris, Neuropteris dan Sphenophyllum yang menunjukkan perspektif flora benua Cathaysia. Selain limpahan fosil daun turut ditemui di Paya Peda adalah fosil batang Lepidodendron dan Sigillaria serta fosil akar pokok Stigmaria. Himpunan fosil flora ini membuktikan bahawa Blok Malaya Timur adalah sebahagian daripada Blok China Selatan dan Blok Indochina. Ini juga membuktikan bahawa tanah daratan tertua di Malaysia terbentuk di Negeri Terengganu, kira-kira seratus juta tahun sebelum Semenanjung Malaysia terbentuk. Himpunan fosil flora Paya Peda ini merupakan warisan fosil amat penting dalam sejarah pembentukan tanah daratan paling tua di Malaysia.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech