Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Friday - May 26, 2017

Weather: 25°C

SENARAI BANGUNAN WARISAN KEBANGSAAN 2015

BANGUNAN PEJABAT DAERAH DAN TANAH LARUT, MATANG DAN SELAMA, PERAK

Sejarah pembangunan bandar Taiping bermula dengan penghijrahan masyarakat daripada pelbagai bangsa ke bandar ini pada penghujung abad ke-19 kerana tarikan aktiviti perlombongan bijih timah dan kewujudan ladang getah di Tanah Melayu. Kemasukan pelbagai etnik telah memperkenalkan pelbagai bentuk seni bina di kawasan Taiping terutama di pusat bandar.

Pada tahun 1895, pembinaan bangunan pejabat kerajaan yang baru telah dimulakan untuk menggantikan bangunan lama pejabat daerah yang dibina pada tahun 1883. Bangunan baru ini dibina mengikut rekabentuk bangunan Victoria dengan memuatkan sebuah Dewan Majlis Orang Ramai, Pejabat untuk Sekretariat, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Audit, Pejabat Pendidikan dan Jabatan Perhutanan. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1897 dan mula beroperasi pada tahun 1898. Hari ini, bangunan tersebut adalah premis Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama yang terletak di Taiping, Perak.

MASJID ALAUDDIN, SELANGOR

Masjid ini diasaskan oleh Almarhum Sultan (Sir) Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa Sultan Selangor kelima pada tahun 1918 dan siap sepenuhnya pada 1925. Masjid ini terletak di mukim Bandar, Jugra dalam daerah Kuala Langat. Juga dikenali sebagai Masjid Bandar atau Masjid Alauddin.

Reka bentuk masjid ini menampilkan ciri-ciri reka bentuk Timur Tengah dengan pengaruh seni bina Moghul yang dapat dilihat pada bahagian kubah masjid. Perkara menarik tentang masjid ini ialah ruang terbuka seperti yang terdapat di masjid-masjid di Timur Tengah. Ia juga dikatakan menerima pengaruh seni bina Kerajaan Deli di Medan, Sumatera Utara yang dapat dilihat pada ukiran-ukiran kayu yang menjadi hiasan sebahagian dinding dan syiling di bahagian dalam masjid. Ciri-ciri lain yang menarik tentang masjid ini adalah pada tiang seri dan seni ukir dinding serta mimbarnya yang unik kerana diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi serta tahan lama.

MASJID HILIRAN, TERENGGANU

Masjid Hiliran yang terletak kira-kira 3km dari Bandar Kuala Terengganu merupakan salah sebuah masjid tertua di Negeri Terengganu. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Haji Mat Kaya. Bersempena nama individu yang membiayai pembinaan masjid ini pada tahun 1925.

Sejarah awal Sekolah Menengah Agama Khairiah bermula di masjid ini. Sekolah Menengah Agama Khairiah diasaskan pada 8 September 1942 di beranda Masjid Hiliran. Majlis perasmiannya telah dilakukan oleh DYMM Sultan Sulaiman pada hari Jumaaat 5 Mac 1943.

Keunikan masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu yang terkenal.

Keunikan lain yang terdapat di Masjid Hiliran ini ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Pembinaan telaga ini dikatakan bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang telah dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan.

MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR

Tapak bangunan Muzium Negara ini merupakan bekas bangunan Muzium Selangor yang dibina pada tahun 1906. Semasa Perang Dunia II, bahagian kanan Muzium Selangor ini musnah akibat serangan bom. Setelah tamat perang, Muzium Selangor terpaksa diruntuhkan. Menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan agar sebuah Muzium Negara dibina bagi menempatkan khazanah warisan sejarah, kebudayaan serta spesimen flora dan fauna negara.

Arkitek Ho Kok Hoe telah menghasilkan reka bentuk bangunan Muzium Negara ini berdasarkan bentuk seni bina istana raja-raja Melayu dan dihiasi dengan motif Melayu. Ia mula dibina pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada 31 Ogos 1963. Fasad hadapan kiri dan kanan bangunan ini dihiasi dengan mural yang diperbuat daripada kaca mozek Itali. Mural ini menggambarkan penceritaan tentang sejarah dan kebudayaan masyarakat Malaysia. Bahagian lantai dewan tengah bangunan ini dihiasi dengan jubin khas sumbangan kerajaan Pakistan.

Pihak UNESCO turut membantu dengan menghantar beberapa pakar permuziuman dari beberapa buah muzium terkenal dunia bagi memberi khidmat nasihat. Muzium Negara dirasmikan pembukaannya pada 31 Ogos 1963 oleh Yang di Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech