Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Seni persembahan adalah satu bentuk pertunjukan seni yang dilakukan secara langsung atau terus kepada penonton atau khalayak yang membabitkan empat elemen asas iaitu masa, ruang, tempat dan hubungan antara pelaku dan penonton. Persembahan ini boleh diadakan berdasarkan panduan skrip atau tanpa skrip, secara rawak, spontan atau dirancang dengan teliti dan ia boleh berlaku di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Secara asasnya seni persembahan bertujuan untuk mengekspresikan emosi dan perasaan yang merupakan suatu pernyataan yang ingin disampaikan oleh si pelaku kepada khalayak yang menonton atau menyaksikan persembahan itu.

Dalam lingkungan warisan, seni persembahan seharusnya memperlihatkan nilai-nilai warisan yang murni dan beradab bagi mewakili suatu cerminan budaya dan ketamadunan kepada masyarakat yang diwakilinya.

Tiga teras utama dalam seni persembahan adalah muzik, teater dan tarian.

Muzik 

Seni muzik merupakan satu cabang seni yang mengandungi bunyi-bunyian yang disusun sama ada melalui suara (vokal), alam semula jadi atau persekitaran dan peralatan yang dihasilkan oleh manusia untuk mengeluarkan bunyi berirama melaluinya. Muzik yang baik mampu memberi gambaran tentang pemikiran, emosi dan adakalanya persekitaran budaya si pencipta muzik itu. Muzik dalam ertikata seni persembahan adalah sebuah persembahan langsung (terus) yang dihidangkan secara kreatif kepada penonton sama ada dipersembahkan secara solo atau berkumpulan.  Seiring perkembangan semasa, kepelbagaian genre seni muzik telah berkembang pesat dan mempengaruhi masyarakat komuniti di Malaysia namun genre muzik yang bersifat tradisional khususnya bagi masyarakat komuniti Melayu, Etnik Sarawak dan Sabah, Orang Asli serta Cina dan India merupakan elemen muzik yang perlu dilindungi dan diwarisi.  Ensemble nobat dianggap muzik istimewa dan eksklusif kerana merupakan muzik naungan dan hanya dipersembahkan untuk upacara atau majlis istana.

 

Teater

Seni teater merupakan satu kombinasi lakonan (dialog pertuturan, gerak isyarat, mimik muka, emosi), muzik, nyanyian, tarian, bunyi-bunyian, unsur ritual, pencahayaan, set, props, kostum, mekap pencahayaan dan unsur kekaguman pentas.  Ia boleh mempunyai mana-mana satu atau lebih unsur-unsur kraf yang melebihi daripada cabang seni persembahan yang lain seperti muzik dan tarian. Teater bukan sekadar hiburan tetapi ia juga berperanan sebagai medium untuk pendidikan, alat sebaran dan sebagainya. Teater terbahagi kepada beberapa pecahan genre seperti teater absurd, purba, sandiwara, moden, monodrama, muzikal dan sebagainya. Teater bersifat tradisional seperti Mak Yong, Bangsawan, Jikey, Mek Mulung, Hamdolok, Menora, Wayang Kulit seharusnya terus dilindungi dan diwarisi.

 

Tarian

Seni tarian adalah satu bentuk persembahan melalui pergerakan tubuh badan secara berirama yang dilakukan di tempat dan waktu tertentu untuk keperluan pergaulan, mengungkapkan perasaan, maksud, dan pemikiran. Sesuatu persembahan tarian itu diperkuatkan penyampaiannya dan maksud yang ingin disampaikan melalui bunyi-bunyian atau muzik yang mengiiringinya. Gerakan tarian berbeda dari gerakan rutin seharian seperti  berlari, berjalan atau bersenam kerana tarian atau pergerakan yang dianggap tari biasanya bertujuan menyampaikan atau menyuarakan sesuatu melalui pergerakan anggota tubuh badan yang disulami emosi atau jiwa penarinya. Seni tarian di Malaysia turut dipengaruhi dengan perkembangan semasa dunia seperti ballet, moden kontemporari, jazz, latin dan sebagainya namun seni tarian bersifat tradisional yang mewakili masyarakat komuniti tempatan seharusnya terus dilindungi, diwarisi dan dimartabatkan agar tidak hilang ditelan arus kemodenan zaman. Suatu ketika dahulu istana turut menaungi kumpulan-kumpulan tariannya sendiri bagi mengadakan persembahan di istana.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech