Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Friday - July 21, 2017

Weather: 25°C

 

SENARAI TOKOH WARISAN KEBANGSAAN ORANG HIDUP

Butiran Warisan      : DATO' ARIPIN BIN SAID

Bidang                    : Penyanyi Lagu Rakyat

Latar belakang Tokoh:

Beliau dilahirkan pada tanggal 11 Disember 1948, di Kampung Batu Bor, Mukim Bera Temerloh, Pahang. Sejak kecil beliau sering mendengar neneknya bercerita memandangkan beliau dididik dan diasuh oleh neneknya, Zaleha binti Zainal Abidin. Sebagai seorang bidan di mukim Bera, neneknya banyak mengingati cerita-cerita, petua dan ungkapan bahasa yang menarik. Beliau juga dibantu oleh gurunya iaitu Abdullah Hashim Haji Musa untuk memperolehi bahan-bahan bacaan untuk dirujuk.

Kini, beliau merupakan satu-satunya penyanyi lagu-lagu rakyat yang mendapat banyak undangan untuk membuat persembahan di dalam dan di luar negeri.

Dari sudut penerbitan, beliau telah menghasilkan lebih 20 buah novel, antologi cerpen, puisi dan cerita rakyat. Sehingga kini, lebih daripada 200 buah cerpen dan 200 buah puisi telah dihasilkannya. Karya-karyanya tersiar di pelbagai akhbar mingguan dan majalah di tanah air seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Budaya, Mastika, Sarina, Al-Islam, Kiblat, Majalah Sukan, Pemimpin, Sistem Pelajar dan lain-lain lagi.

Sepanjang kegiatan berkarya, Dato’ Aripin telah memenangi beberapa hadiah sastera tanah air yang dikendalikan oleh institusi dan badan-badan tertentu. Antara hadiah yang dimenanginya ialah Hadiah Cerpen Kanak-kanak, Pustaka Kelantan pada tahun 1978, Peraduan Mengarang Cerpen Islam pada tahun 1979; Peraduan Menulis Cerita Lucu Kanak-kanak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1983, Hadiah Sastera Utusan Melayu (Puisi) oleh Public Bank pada tahun 1987, 1990 (cerpen), dan 1991 dan 1992 (cerpen remaja). Bukunya yang berjudul Ceritera Awang Miskin terbitan penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. telah memenangi Hadiah Buku Kebangsaan pada tahun 1990 bagi kategori Klasik Remaja.

Pada 24 Oktober 1990, beliau telah dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

 

Butiran Warisan      : ROMLI BIN MAHAMUD

Bidang                    : Awang Batil

Latar belakang Tokoh:

Romli Mahamud dilahirkan pada 6 Julai 1955 di Kampung Pokok Sena, Chuping Perlis. Beliau mendapat pendidikan peringkat rendah sehingga darjah enam. Mula bergiat dalam bidang kesenian khususnya Penglipur Lara sejak berumur 8 tahun hingga kini. Selain Penglipur Lara, beliau juga berkebolehan bermain beberapa alat muzik seperti gendang terinai, viola, rebana dangong. Penglibatan beliau dalam bidang seni ini bermula pada tahun 1963 dengan bermain gendang terinai di majlismajlis kenduri di seluruh negeri Perlis termasuk juga Thailand bersama Tok Selampit.

Di awal penglibatan beliau dalam kesenian ini, beliau sering mengadakan persembahan bersama bapa beliau yang juga merupakan Awang Batil berbakat di pelbagai peringkat dan acara. Antara acara rasmi yang pernah beliau terlibat termasuklah mengadakan persembahan gendang terinai, Muzik Asli di Dewan Sri Pinang sempena Persidangan Raja-Raja Melayu ke -112. Sekitar tahun 1993-1997, beliau juga pernah bekerja sepenuh masa dalam bidang muzik asli selama 4 tahun di Penang Culture Centre (Teluk Bahang Pulau Pinang). Pernah juga mengadakan persembahan di luar negara termasuklah di Switzerland selama 3 minggu serta ratusan lagi persembahan lain di dalam negara. Antara sumbangan beliau ialah mencipta beberapa buah lagu seperti Layang Mas, Cik Lang dan Mak Inang Tua serta Canggung (Negeri Perlis). Pencapaian yang pernah diterima adalah Anugerah Penggiat Seni Negeri Perlis 2002 kategori Muzik Terinai.

 

Butiran Warisan      : MAZNAH ANAK UNYAN

Bidang                    : Anyaman Kraftangan Tradisional Orang Asli

Latar belakang Tokoh:

Beliau dilahirkan pada tahun 1968. Merupakan seorang penggiat seni origami masyarakat orang asli Mah Meri di Pulau Carey iaitu suku kaum daripada pecahan bangsa Senoi. Sumbangan beliau amat besar sehingga menghidupkan kembali warisan masyarakatnya yang kian ditinggalkan. Segala usaha beliau bermula pada tahun 2003 setelah dikumpulkan beberapa orang ahli keluarga dan sahabat bagi memulakan kelas anyaman. Pada peringkat awal, mereka menghasilkan produk utama seperti tikar, bakul. beg kecil, topi, penanda buku, gelang dan sebagainya daripada daun nipah, pandan dan daun kelapa.

Pada tahun kedua, kumpulan ini telah dinamakan sebagai Tompoq Tompoh (permulaan segala usaha) yang menjadi kekuatan kepada beliau dan ahli kumpulan untuk mendapatkan pengiktirafan dan mengetengahkan hasil kraftangan masyarakat Mah Meri. Kumpulan beliau tidak terhad kepada anyaman sahaja kerana dalam masa yang sama mereka melestarikan tarian tradisi mereka iaitu Mayin Jo’oh. Tarian tradisi ini diwarisi sejak turun-temurun dan amat berkait rapat dengan anyaman mereka. Justeru, beliau sebagai ketua anyaman dan tarian di Kampung Sungai Bumbun sentiasa bekerja keras untuk menjamin warisan masyarakatnya akan terus diwarisi. Beliau berharap kepada masyarakatnya terutama generasi akan datang untuk meneruskan usahanya mengetengah dan memartabatkan warisan masyarakat Mah Meri. Kelangsungan tarian Jo’oh, perkahwinan, perayaan, perhiasan diri, perubatan dan sebagainya amat berkait rapat dengan seni anyaman. Justeru, tidak hairanlah suatu ketika dahulu wanita masyarakat Mah Meri yang ingin berkahwin perlu memiliki kepandaian menganyam.

 

Butiran Warisan      : MATHEW NGAU JAU

Bidang                    : Muzik Sape

Latar belakang Tokoh:

Mathew Ngau Jau dilahirkan dan dibesarkan di rumah panjang, Sungai Baram. Beliau membesar di dalam persekitaran yang kurang dipengaruhi budaya luar kerana berada jauh di pedalaman Sungai Baram iaitu di tengah-tengah Borneo. Berbekalkan bakat yang ada, beliau mewarisi pelbagai khazanah masyarakatnya iaitu Ngorek dari suku Kenyah. Masyarakatnya menjadi salah satu suku pertama yang merintis pembukaan Baram. Sejak kecil, beliau sering terdedah dengan muzik sape dan lagu-lagu tradisi membolehkan beliau menerima dan pada hari ini menjadi salah seorang pemuzik sape yang unggul atau digelar “Sape Master” di peringkat negara dan antarabangsa. Kepakaran beliau tidak dapat dinafikan memandangkan beliau mempelajarinya sejak kecil. Beliau juga telah berguru dengan lagenda pemuzik sape iaitu Tusau Padan. Setelah kematian Tusau Pandan, beliau antara pewaris pemuzik sape terunggul ketika ini.

Beliau pernah menjadi salah seorang pemuzik sape yang dibawa khas ke Paris pada tahun 2008 untuk mempromosi muzik sape sebagai kebudayaan masyarakat Malaysia di persada antarabangsa.

Kebolehan beliau tidak terhad kepada bermain muzik sape semata-mata, malah mampu menghasilkan alat muzik sape, menghasilkan lukisan-lukisan tradisi, menari tarian ngajat dan sebagainya. Beliau juga memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat mempelajari kesenian ini terutamanya penginap di Tuyang Longhouse homestay yang diusahankannya.

 

Butiran Warisan      : SAAD BIN TAIB

Bidang                    : Mek Mulung

Latar belakang Tokoh:

Saad bin Taib atau dikenali dengan nama Pak Ad dilahirkan pada 14 Julai 1947 di Kg. Baru Wang Tepus, Jitra Kedah. Beliau mula bergiat di dalam bidang seni persembahan seawal usia 16 tahun melalui pendidikan awal daripada Allahyarham bapanya. Beliau dilantik sebagai ketua kumpulan Mek Mulung Kampung Bahru, Wang Tepus, Jitra Kedah di mana satu-satunya kumpulan yang bergiat aktif di dalam persembahan Mek Mulung.

Di awal penglibatan beliau dalam kesenian ini, beliau sering mengadakan persembahan bersama bapa beliau dan sehingga kini beliau digelar sebagai ‘guru’ yang membimbing ahli kumpulan baru di dalam seni persembahan Mek Mulung. Maka tidak hairanlah kepakaran yang diperolehi menjadikan beliau dan kumpulan seni persembahan Mek Mulungnya sering menerima jemputan pada acara-acara majlis besar untuk mengadakan persembahan. Kumpulannya pernah diikat kontrak selama 4 tahun bagi mengadakan persembahan Mek Mulung setahun sekali di negeri Pahang dan Langkawi.

Kumpulan beliau berpeluang mengadakan persembahan di Dewan Phiharmonik Petronas dan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) pada tahun 2002 dan 2011.

 

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech