Pada 19 Oktober 2023 telah berlangsung Webinar Warisan Tidak Ketara siri ke-8 secara dalam talian yang disiarkan melalui saluran youtube Jabatan Warisan Negara iaitu Heritage TV. Siri terakhir untuk tahun 2023 ini telah membincangkan tajuk ‘Makanan Warisan Hampir Pupus… Realiti Atau Sebaliknya?’. Para panel yang terlibat adalah Dr. Ahmad Esa Abdul Rahman, Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam dan Chef Shaifuddin Bin Rosli, seorang chef serta Pengurus Besar, Utagha Food Industry. Chef Fandi Muhammad, seorang chef selebriti bertindak sebagai moderator sesi webinar.
Pelbagai isu berkaitan makanan warisan telah dikupas oleh para panel sepanjang sesi webinar ini berlangsung. Antara topik yang telah dibincangkan seperti punca dan faktor kepada kepupusan makanan warisan, langkah-langkah pelestarian yang boleh dilaksanakan serta cabaran masa kini dalam memastikan makanan warisan kekal relevan dikalangan masyarakat. Para penonton turut didedahkan dengan maklumat mengenai kewujudan makanan-makanan warisan hampir pupus yang mungkin tidak lagi dikenali serta ketahui ramai terutamanya generasi muda hari ini.
Perkongsian ilmu oleh para panel dalam webinar ini telah memberikan persepsi baru bahawa makanan bukanlah sekadar makanan sahaja tetapi banyak maklumat berkaitan budaya dan kehidupan sosial masyarakat setempat boleh diperolehi melaluinya. Makanan juga menjadi identiti bangsa dan negara yang menjadi simbol masyarakat majmuk rakyat Malaysia. Justeru, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk melestarikan makanan warisan agar ia tidak pupus, terus terpelihara serta dimartabatkan ke tahap lebih tinggi.