Bahagian Warisan Tidak Ketara
Bertanggungjawab melaksanakan usaha pemuliharaan, pemeliharaan, perlindungan dan pengekalan warisan adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan persuratan serta seni halus melalui penyelidikan, pendokumentasian, program-program pengembangan dan kesedaran serta promosi warisan kebudayaan tidak ketara kepada masyarakat tempatan dan luar negara.
Bidang adat dan budaya merangkumi kepercayaan, budaya lingkungan, adat kitaran seperti adat istiadat, makanan, permainan tradisi, perubatan tradisional dan seni pertahanan diri. Seni persembahan pula merangkumi muzik, tarian dan teater. Manakala, bidang bahasa dan persuratan mencakupi bahasa, tulisan Jawi, manuskrip, lagu rakyat, cerita rakyat, puisi Melayu tradisional dan sebagainya. Seni halus pula merangkumi busana, tekstil, perhiasan diri dan kraf. Bahagian ini juga bertanggungjawab mengenalpasti mana-mana orang hidup yang bergiat aktif dan berpengetahuan luas dalam bidang warisan untuk dicalonkan sebagai Tokoh Warisan Orang Hidup (WAKOH). Pengiktirafan butiran warisan tidak ketara turut dibawa ke UNESCO untuk mendapatkan status Warisan Dunia.