Pilihan Bahasa   

MY
                              

Pemuliharaan Bangunan Tradisional

Pemuliharaan Bangunan Tradisional


Bangunan tradisional di Malaysia umumnya merujuk kepada rumah tradisional Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. Ia juga merangkumi lain-lain bangunan tradisi Melayu, Siam, Cina dan India seperti istana, masjid, madrasah, wat, tokong, kuil serta rumah tradisional kaum Cina dan India. Kebanyakan bangunan tradisional khususnya rumah tradisional Melayu dan Siam di Semenanjung serta rumah tradisional pribumi di Sabah dan Sarawak dibina keseluruhannya dari kayu serta gabungan lain-lain bahan organik seperi nibung, buluh dan atap rumbia, bertam atau genting tanah liat. Ini merupakan bahan yang mudah luluhawa dan diserang serangga perosak sehingga pengekalan dan pemuliharaan bangunan sebegini sangat mencabar.  Manakala bangunan tradisi Cina mempunyai pelbagai variasi mengikut suku kaum dan pemuliharaan bangunan sebegini memerlukan kefahaman yang baik dari segi seni bina dan ragam hias yang bervariasi ini.


Pendokumentasi bangunan tradisi juga agak sukar kerana ia mempunyai sistem ukuran dan skala yang tersendiri. Sebagai contoh, pembinaan rumah tardisional Melayu menggunakan sistem ukuran manusia seperti depa dan jengkal untuk lebar dan bersila  atau berdiri untuk ketinggian atau sepemeluk untuk ukur lilit tiang. Sistem pembinaan tradisi juga melibatkan pelbagai kepercayaan, pantang larang serta peraturan keserasian seperti arah angin, mata air dan 'feng shui' bagi menentukan lokasi, orientasi bangunan dan susunan ruang. Kesemua ini perlu diberi perhatian bagi pemuliharaan, pendokumentasian dan pengubahsuaian bangunan tradisi.


Antara bangunan tradisional yang telah dipulihara atau dibaik pulih oleh Jabatan warisan Negara ialah Balai Adat Orang Asli Kampung Putra di Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, Rumah Penghulu Abdul Ghani di Merlimau, Melaka; Wat Kampung Dalam (Wat Siam) di Tumpat, Kelantan; Tokong Chan She Shu Yuen di Kuala Lumpur dan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthy (Kuil Chetti) di Melaka dan Rumah Pengiran Mattusin di Lawas Sarawak, Masjid Insaniah Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak dan Istana Kampung Dalam (Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu) di Kuala Terengganu.


Antara masalah utama bagi pemuliharaan bangunan tradisional kayu adalah kekurangan tukang mahir dalam seni pertukangan tradisi khususnya untuk kerja tanggam dan memulihara (mengawet) kayu. Sumber kayu negara juga makin berkurangan seperti spesis jati.  Bekalan kayu belian di Sabah dan Sarawak juga adalah merupakan sumber kawalan yang sangat terhad. Kayu yang ada di pasaran sekarang biasanya kayu yang lebih muda dengan ukuran yang berbeza dengan ukuran struktur kayu bagi rumah tradisional. Maka itu bagi kerja pemuliharaan bangunan kayu memerlukan tempahan khas dan ini akan mengambil masa bagi memastikan kayu yang dibekal berdasarkan kualiti yang sepatutnya.

 

Rumah Penghulu Abdul Ghani, Merlimau, Melaka Masjid Lama Mulong, Kedai Mulong, Kota Bharu, Kelantan


 

Masjid Kampung Laut, Kota Bharu, Kelantan Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah,N. Sembilan


 

Masjid Insaniah Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak Istana Kampung Dalam (Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu),Kuala Terengganu, Terengganu.

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanine, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service