Warisan Tidak Ketara
Dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], Warisan Tidak Ketara melibatkan pengekalan warisan yang wujud berhubung dengan warisan Malaysia yang mempunyai nilai estetik yang tinggi. Melihat kepada pengertiannya yang luas, tugas dan cabaran Jabatan Warisan Negara untuk meningkatkan usaha-usaha penyeliaan Warisan Tidak Ketara menjadikan semakin besar dan diberi keutamaan dari tahun ke tahun bagi mencapai matlamat untuk memulihara, memelihara dan mengekalkan warisan negara.
Warisan tidak ketara digerakkan melalui empat (4) cawangan iaitu:
1. Cawangan Adat dan Budaya merangkumi Adat dan Kepercayaan, Budaya Lingkungan, Adat Kitaran yang melibatkan adat istiadat, makanan, permainan tradisi, perubatan tradisional, seni pertahanan diri;
2. Cawangan Seni Persembahan merangkumi muzik, tari, seni lakon;
3. Cawangan Bahasa dan Persuratan merangkumi bahasa, tulisan Jawi, manuskrip, Lagu Rakyat, Cerita Rakyat;
4. Cawangan Seni Halus dan Kraf merangkumi busana, tekstil, seni hias diri dan kraf (motif ukiran, lukisan, anyaman, sulaman dan tekatan, seramik serta logam). Kesimpulan
Bahagian Warisan Tidak Ketara mensasarkan setiap program dan aktiviti kepada semua masyarakat seluruh Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan peringkat umur serta dari pelbagai profesion. Golongan paling popular terlibat dan mempunyai minat tinggi dalam program anjuran Jabatan ini adalah daripada kalangan pelajar (IPT atau sekolah), dan termasuk agensi kerajaan, pelancong luar negara dan persatuan seni dan budaya. Tanggungjawab yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Bahagian Warisan Tidak Ketara dalam menjaga dan menyelia Warisan Tidak Ketara adalah selari dengan objektif:
1. Memulihara, memelihara dan melindungi warisan kebudayaan tidak ketara melalui penyelidikan, pendokumentasian dan menggalakkan kesedaran warisan;
2. Penjanaan penemuan fakta baru Warisan Tidak Ketara melalui penyelidikan;
3. Penyebaran pengetahuan tentang Warisan Tidak Ketara melalui program pengembangan agar rakyat menjadi modal insan yang lebih terdidik dan berbudaya.
Segala keterangan di atas merupakan usaha berterusan dilaksanakan oleh Bahagian Warisan Tidak Ketara yang seiring dengan keseriusan kerajaan dalam melindungi dan memelihara warisan tidak ketara di negara ini hingga ke peringkat pengiktirafan dunia. Malaysia telah meratifikasi Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage 2003 yang diluluskan dalam Persidangan Agung UNESCO 2003 pada 13 Julai 2013. Sebagai negara anggota UNESCO, Malaysia memainkan peranan yang penting dalam usaha memulihara, memelihara, melindungi dan melestarikan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara negara sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.