Istana Sultan Abu Bakar (Muzium) Pekan, Pahang

Sebelum Kerja Konservasi Semasa Kerja Konservasi Selepas Kerja Konservasi

Bangunan bersejarah ini telah dibina pada tahun 1929 sebagai kediaman Residen Britsh bagi menggantikan bangunan kayu asal yang dibina pada tahun 1888. Sewaktu Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dijadikan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Dalam tahun 1948, bangunan ini dibaik pulih dan dijadikan istana bersemayam Al-Marhum Sultan Abu Bakar. Baginda menjadikannya sebagai Istana Rasmi Negeri dan diberi gelaran nama “Istana Kota Beram” menggantikan Istana Sri Terentang. Istana Kota Beram telah mengalami perubahan pada tahun 1954 dengan pembinaan bangunan sambungan untuk kegunaan sebagai "Balairong". Pada tahun 1959-1965, Istana baru dibina berhampiran kawasan Istana Terentang untuk persemayaman D.Y.M.M Sultan Pahang. Oleh itu, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah mengambil alih bangunan ini pada 17 Mac 1976 untuk dijadikan Muzium Negeri Pahang dan dibuka dengan rasminya pada 21 Oktober 1976 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah dengan diberi nama “Muzium Sultan Abu Bakar”.

Secara amnya, struktur binaan Bangunan Muzium Sultan Abu Bakar ini mengambungkan dua sistem binaan iaitu Sistem Dinding Tanggung Beban dan Sistem Tiang dan Alang. Sistem Dinding Tanggungan Beban merupakan sistem binaan dinding yang lazimnya digunakan pada binaan bangunan sebelum teknologi konkrit bercerucuk diperkenalkan. Pada bangunan muzium ini sistem struktur ini diaplikasi pada bahagian utama bangunan. Ketebalan dinding adalah di antara 12" hingga 14" dan ia terbina daripada ikatan batu bata yang dilepa. Manakala Sistem Alang dan Tiang ini diaplikasi untuk menyokong bahagian verandah dan juga anjung terutamanya di tingkat satu. Tiang bangunan ini bersaiz 1'6" digunakan untuk menyokong struktur yang terdiri dari rasuk di atasnya.

Struktur bumbung bangunan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu bumbung curam dan bumbung rata. Bumbung curam menutup keseluruhan ruang tengah dan anjung bumbung dengan genting tanah liat merah manakala bumbung rata konkrit tetulang terdapat di bahagian serambi belakang.

Terdapat dua jenis tangga di dalam bangunan ini iaitu tangga batu dan tangga kayu. Tangga batu dibina di pintu utama dan terdapat tangga batu baru yang dibina di bahagian belakang dimana ia digunakan untuk menghubungkan bangunan ini dan pejabat manakala tangga kayu dibina untuk menghubung antara tingkat satu dan tingkat dua.

Kesemua pintu adalah kayu termasuk jenangnya dan ketinggiannya 90" dan lebar berbeza bergantung pada jenis pintu dan ruangnya. Kesemua elemen tingkap termasuk bingkai dan daun tingkap adalah dibuat daripada kayu. Tingkap-tingkap ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian atas diperbuat daripada kepingan kaca manakala bahagian bawah menggunakan kayu keras.

Sepanjang penggunaan bangunan, sama ada digunakan sebagai istana atau muzium, beberapa elemen di bangunan ini telah melalui perubahan mengikut keperluan pada waktu tersebut. Antara yang ketara dapat dilihat ialah bahagian serambi di tingkat atas dimana ruang antara tiang telah ditutup dengan tingkap ram kayu sepanjang fasade hadapan. Di antara skop kerja untuk projek konservasi di bangunan ini ialah menanggalkan komponen tingkap di ruang koridor keseluruhannya untuk mengembalikan semula tampak asal keadaan bangunan ini. Walau bagaimanapun oleh kerana bangunan ini digunakan sebagai galeri sebuah muzium, keperluan penghawa dingin bangunan ini perlu dipertimbangkan. Sebagai penyelesaian, bahagian ini akan ditutup dengan kaca jernih untuk tujuan hawa dingin. Selain itu, kompenan lain yang melibatkan skop kerja konservasi utama ialah menggantikan papan lantai dengan jenis kayu dan ukuran papan yang sama seperti asal bagi kedua-dua tingkat bangunan kerana sebahagian besar papan lantai telah mengalami kerosakan.

 

ANTARA KERJA-KERJA KONSERVASI YANG DILAKSANAKAN

Pandangan Muzium Sultan Abu Bakar dari jalan utama Ukiran yang mempunyai ciri-ciri kediaman Kolonel British masih jelas kelihatan Pandangan fasad bangunan dari sisi kiri
     
Ruang koridor tingkat atas diletakkan kaca jernih untuk tujuan penghawa dingin Tangga kayu utama sedia ada disyelek bagi menyerlahkan keasliannya Bahagian serambi tingkat atas ditutup dengan tingkap ram kayu sepanjang fasad