Festival Kedah Tua

WARISAN KEBANGSAAN 2009

  1. Pantun
  2. Syair
  3. Karya Pendeta Zaa’ba
  4. Tulisan Jawi
  5. Hikayat Munshi Abdullah
  6. Hikayat Malim Deman
  7. Hikayat Merong Mahawangsa

 

WARISAN KEBANGSAAN 2012

  1. Kitab Tib
  2. Syair Siti Zubaidah Perang Cina
  3. Misa Melayu
  4. Pengap
  5. Bahasa Melayu

 

WARISAN KEBANGSAAN 2015

  1. Hikayat Pelanduk Jenaka
  2. Peribahasa

 

WARISAN KEBANGSAAN 2018

  1. Lagu Rakyat
  2. Talibun
  3. Teromba
  4. Teka Teki
  5. Seloka
  6. Gurindam
  7. Nazam
  8. Cerita Rakyat

 

 

Manuskrip Melayu merupakan suatu warisan ilmu yang telah wujud dari zaman silam yang tiada ternilai harganya. Yang dimaksudkan dengan “manuskrip Melayu” ialah karya-karya yang bertulis tangan, terutama sekali dalam tulisan Jawi yang dihasilkan seawal-awalnya pada akhir abad ke-15 atau dalam lingkungan abad ke-16 dan selewat-lewatnya pada awal abad ke-20.

 

Pada awalnya, permukaan batu dan pahat merupakan peralatan tulisan. Batu bata dan lumpur kering, serta galian seperti besi dan tembaga turut digunakan. Kemudian orang Melayu, atas daya usaha dan kepintarannya, telah membuat kertasnya sendiri daripada kulit kayu dan kertas jenis ini dipanggil daluang. Walaupun daluang lebih tahan lama, tetapi proses membuatnya agak sukar. Dengan itu, penggunaannya terhad. Di samping daluang, turut digunakan juga daun lontar, kepingan buluh, papan, kulit binatang dan kain. Tiap-tiap satunya memerlukan cara penulisan yang berbeza-beza. Dari segi isi pula, hanya yang ringkas ditulis pada daun lontar dan buluh; dan sesuatu yang amat penting dan perlu disimpan lama seperti jurai keturunan keluarga (raja atau kaum bangsawan) dan adat istiadat serta pantang larang, ditulis pada kulit binatang dan kain. Namun, manuskrip yang ditulis di atas bahan seperti ini tidak popular kerana ia bukan tradisi seni penulisan masyarakat Melayu. Orang Melayu mengetahui akan kertas dari pedagang dan pelayar Cina semenjak abad ke-7 lagi, tetapi kertas sebagai permukaan menulis ketika itu merupakan bahan yang sukar untuk diperolehi. Kehadiran kertas Cina dan Arab (oriental paper) merupakan satu nikmat yang tidak terhingga kepada pujangga Melayu. Kedatangan orang Batar ke Nusantara pada abad ke-17 memudahkan perolehan kertas dari Eropah kepada jurutulis manuskrip di Nusantara. Kebanyakkan kertas yang digunakan adalah diimport dari England, Belanda, Itali dan Perancis, China dan negara Arab.

 

Bagi bahan tulisan pula, masyarakat Melayu menggunakan pen dan kalam yang diperbuat daripada batang pokok. Terdapat dua jenis kalam yang digunakan dalam penulisan manuskrip, iaitu kalam resam dan kalam kabung. Kalam resam adalah dari batang pokok resam. Batangnya kukuh dan dengan itu ia murah diraut menjadi mata pena yang halus dan tahan lama. Oleh ekrana pokok resam banyak tumbuh dan mudah untuk didapati maka kalam resam adalah lebih popular. Kalam kabung pula adalah daripada pelbagai pokok palma, terutamanya enau atau kabung. Kalamnya yang keras menjadi kekangan bagi jurutulis menghasilkan tulisan yang cantik. Dakwat diperbuat secara tempatan hasil dari kepintaran orang Melayu. Kebanyakkan dakwat diperbuat daripada jelaga damar dicampur dengan madu dan getah, terutamanya getah pokok gajus. Sumber lain ialah daripada buah majakani. Dakwat warna diperolehi daripada pokok-pokok tertentu, seperti lembayung untuk dakwat berwarna ungu, kulit manggis untuk warna coklat dan kesuma untuk warna merah.

 

Bahan tulisan awal ini malangnya tidak tahan melawan bahana iklim tropika yang menjadi punca utama manuskrip hancur dan reput. Tanpa penjagaan yang rapi himpunan manuskrip Melayu musnah dengan cepat. Kemusnahan manuskrip awal ini juga disebabkan peperangan yang sering berlaku di mana pihak yang menang akan membakar istana dan kota pihak lawan yang kalah. Pada zaman dahulu istana merupakan pusat kegiatan penulsian. Dengan etrbakarnya istana maka terbakarlah himpunan naskah yang tersimpan.

Manuskrip Melayu dalam kelahiran dan perkembangannya berkait rapat dengan perkembangan Islam di rantau ini, kerana melalui Islam masyarakat Melayu telah mencipta tulisan Jawi yang digunakan untuk merakamkan buah fikiran dan cetusan minda intelektualnya.

 

Dengan sendirinya semenjak nenek moyang kita mahir menulis dan membaca tulisan Jawi, beribu-ribu manuskrip telah dihasilkan di berbagai-bagai pusat perkembangan tamadun Melayu di seluruh Nusantara. Pada mulanya istana menjadi pusat perkembagan ilmu dan pusat karang-mengarang dan salin-menyalin. Sesuatu naskah yang ingin dimiliki, diperintah salin pada penulis yang sememangnya mahir menulis dengan menurukan bentuk tulisan yang cantik. Manuskrip itu disimpan dengan cermat, dikelurkan untuk cibara beramai-ramai pada waktu yang tertentu.

 

Manuskrip yang ditulis dan disalin untuk dibaca sebagai alat hiburan di kalangan penghuni istana, bangsawan dan rakyat jelata. Bagi rakyat jelata akan ada tukang bacanya yang akan membacakan dengan nada yang bersesuaian tinggi rendah seolah-olah melakonkan cerita. Selain sebagai alat hiburan, manuskrip juga dihasilkan sebagai bahan rujukan para istana dan bangsawan literati dan ulama.

 

Manuskrip Melayu memperkatakan pelbagai perkara. Tajuk-tajuk yang digunakan seolah-olah mengklasfikasikan manuskrip Melayu itu sendiri. Kata-kata seperti hikayat, syair, kitab, kanun, salasilah dan seumpamanya, yang tertulis pada judul-judul dengan sendirinya menyatakan perkara karya tersebut. Judul perkara yang diliputi oleh manuskrip adalah luas, mencakupi pelbagai aspek kehidupan dan tamadun Melayu. Bentuk prosa dan puisi menjadi wahana bagi penulis menyampaikan ilmu, pengetahuan dan falsafah di smaping prosa digunakan untuk penceritaan hikayat dan pemberian subjek yang lebih berat, seperti undang-undang dan sejarah. Bentuk syair amat digemari oleh orang Melayu. Ada yang memperkatakan tentang sejarah seperti Syair Perang Mengkasar atau mengenai jalan cerita sesuatu watak seperti Syair Siti Zubaidah, malah syair juga banyak digunakan untuk menyampaikan nasihat dan ajaran agama yang kebanyakannya menyentuh tentang tasawuf dan tauhid. Bahasanya yang menarik, susunan ayatnya yanh indah, nada dan iramanya yang memikat hati menyebabkan bentuk puisi ini lebih popular daripada jenis puisi yang ditulis. Berbagai-bagai hikayat, dalam bentuk prosa dan puisi dihasilkan di merata daerah kepulauan Melayu. Untuk kepentingan kaum bangsawan, dieprintah pengarang mengarangkan kisah-kisah bersejarah yang mengemukakan sejarah raja, bangsa dan negara. Tujuannya ialah untuk meninggikan kedaulatan raja, mengekalkan taat setia rakyat, mengelakkan perderhakaan dan pembelotan. Manuskrip mengenai sistem pentadbiran negara dan perundangan ditulis sebagai panduan kepada raja yang memerintah negari berlandaskan sesuatu peraturan yang teratur dan adil. Untuk hiburan dan perintang waktu, tercipta hikayat pelbagai-bagai nama dengan watak-watak putera dan puteri serba indah dan gilang-gemilang, paras rupa yang tiada tolok-bandingnya serta wira yang sentiasa menang dalam segala pertarungan. Tidak ketinggalan penulisan undang-undang dan peraturan negara diperturunkan dalam bentuk tulisan untuk dijadikan panduan pentadbiran. Kitab-kitab agama juga banyak dihasilkan dengan sebarannya yang amat luas untuk menyiarkan syariat Islam yang maha agung itu. Para ulama muktabar tempatan telah berkecimpung dalam bidang penulisan, di samping menyebarkan ilmu pengajian Islam. Bidang perkara yang terakam dalam manuskrip amat luas, mencakupi pelbagai aspek kehidupan dan tamadun masyarakat Melayu. Petua, azimat dan ramalan yang menjadi sumber rujukan hidup masyarakat ketika itu dirakamkan dalam bentuk penulisan. Begitu juga amalan perubatan tradisional Melayu yang menggunakan bahan fauna dan flora alam sekeliling dicampur dengan rempah-ratus untuk dijadikan ubat. Ramuan ini didapati mujarab mengubati pelbagai penyakit dan direkodkan oleh para bomoh atau pawang dalam manuskrip. Pendek kata, berbagai-bagai topik yang menyentuh segala aspek kehidupan masyarakat Melayu yang diabadikan dalam beribu-ribu manuskrip dalam masa lebih kurang empat ratus tahun kebelakang ini.

 

Siti Mariani S.M.Omar. 2002. Warisan Manuskrip Melayu: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

 

Genre yang didefiniskan sebagai kesusasteraan hikayat Melayu ialah ciptaan dalam bentuk naratif yang pada dasarnya bermotif hiburan dengan selingan-selingan yang membayangkan berbagai-bagai pengaruh Hindu, Islam dan setempat. Karya ini dikarang dalam bahasa persuratan Melayu klasik yang baik oleh pengarang dan biasanya tidak menyebut namanya. Hanya pada akhir abad ke-19 baru terdapat beberapa orang pengarang hikayat yang diketahui namanya. Hikayat-hikayat ini mulanya diterjemah ke bahasa Melayu dan penterjemah menyebut namanya. Dari cetakan-cetakan yang berbeza peneliti dapat mengesan wujudnya perbezaan antara versi terjemahan awal dengan cetakan-cetakan terkemudian. Yang berlaku ialah hikayat-hikayat ini diubahsuai oleh penyalin daripada terjemahan cerita asal dalam bahasa Arab, Parsi, Urdu dan Hindustan.

 

Malah kewujudan berbagai-bagai unsur pengaruh ini membuatkkan para sarjana waswas menetapkan definisi kesusasteraan Melayu ini. Namun demikian mudah mengasingkan genre ini daripada kesusasteraan hikayat berunsur Hindu atau Islam kerana adanya unsur-unsur setempat. Unsur-unsur setempat kelihatan pada penggunaan gaya bahasa yang bersifat kolokial dengan peribahasa, perumpamaan Melayu dan sebagainya. Penceritaan hikayat ini juga diperindah dengan sisipan pantun, syair, gurindam dan seloka. Dari sudut cara hidup, hikayat Melayu merujuk pada serba sedikit aspek adat-istiadat Melayu di samping hukum-hukum Islam. Satu lagi perbezaan yang ketara antara hikayat berunsur Islam dengan hikayat Melayu ialah hikayat Melayu dikarang di daerah Nusantara oleh pengarang setempat dan diketahui siapa pengarangnya, misalnya Hikayat Ganjamara adalah karya Haji Puteh bin Syeikh Abu Basyir di Pulau Pinang dan Hikayat Syamsul Anwar adalah karya Raja Aisyah Sulaiman di Riau.

 

Satu perkara penting yang memberikan hikayat-hikayat itu bersifat setempat dan boleh dinamakan sebagai hikayat Melayu ialah adanya perhatian pengarang terhadap unsur keindahan atau estetik yang bukan sahaja berdasarkan gaya bahasa atau selingan pantun dan syair. Dalam hikayat Melayu pengarang memberi perhatian kepada keindahan pemandangan dan suasana alam. Suasana yang digambarkan dalam hikayat berunsur Islam seperti padang pasir yang luas dan panas dalam hikayat Melayu berubah menjadi suasana selesa dangan angin berhembus sepoi-sepoi bahasa, bulan mengambang berseri-seri, pohon kelapa yang melambai-lambai, ombak laut memukul pantai dan sebagainya. Lukisan wajah pelaku-pelakunya juga berubah menjadi watak Melayu dengan puteri yang lemah-lembut, berkebaya dan berselendang, dayang-dayang menarikan tarian Melayu dan mendendangkan nyanyian lagu-lagu Melayu ataupun berlawan berpantun dan berbagai-bagai lagi. Malah jamuan yang dihidangkan juga turut mendapat perhatian daripada pegarang Hikayat Melayu.

 

Rujukan :

Siti Hawa Haji Salleh. 2002. Warisan Manuskrip Melayu: Hikayat Berunsur Islam dan Hikayat Melayu. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

 

 

Cerita (kisah atau naraftif)

  • Sastera Hikayat
    1. Hikayat-hikayat berunsur Hindu dan pancaran daripada epik India Ramayana dan Mahabharata: Hikayat Seri Rama, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Perang Pandawa Jaya.
    2. Hikayat lain berunsur India.
    3. Hikayat-hikayat daripada sumber Islam dan tempatan.
    4. Hikayat-hikayat daripada pelbagai unsur, Hindu, Islam dan daerah lain di Nusantara.

 

  • Sastera Epik
    1. Epik kebangsaan: Hikayat Hang Tuah
    2. Epik berunsur Islam: Hikayat Muhammad Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah

 

  • Sastera Panji dan Perwayangan
    1. Cerita-cerita panji Jawa dan Melayu termasuk dalam bentuk syair: Syair Ken Tambuhan, Syair Jaran Tamasya.
    2. Cerita-cerita wayang, pokok dan ranting daripada Ramayana dan Mahabharata.
    3. Cerita lain daripada tradisi wayang.

 

  • Sastera Sejarah
    1. Sejarah bersifat mitos dan lagenda: Merong Mahawangsa, Hikayat Banjar.
    2. Sejarah berunsur mitos dan sejarah: Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai.
    3. Sejarah sebenar; merangkumi tempat, tokoh dan peristiwa: Misa Melayu, Sejarah Riau, Syair Residen De Brauw.
    4. Salasilah dan peraturan: Asal Raja-Raja Sambas, Surat Pengangkatan dan lain-lain.

 

  • Kisah Para Nabi dan Tokoh-Tokoh Islam
    1. Cerita sekitar kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.: Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat.
    2. Cerita tentang tokoh-tokoh dan keluarga Rasulullah: Hikayat Fatimah, Hikayat Khadijah Kahwin.
    3. Cerita Nabi dan Rasul yang lain: Kisas al-Anbia, Hikayat Nabi Yusof.
    4. Cerita tokoh-tokoh Islam, termasuk sebelum Islam: Iskandar Zulkarnain, Hikayat Tamin al-Dari, dan para sahabat yang lain.
    5. Cerita wali Allah, ahli sufi, dan sebagainya: Hikayat Luk,am al-Hakim, Hikayat Sultan Ibrahim ibn Adham.
    6. Watak dan peristiwa lain: Hikayat Perang Khaibar, Hikayat Seribu Masali, dan lain-lain.

 

Bukan Cerita (bukan kisah atau bukan naratif)

  • Sastera Kitab
    1. Ilmu fikah: Sirat al-Mustaqim
    2. Ilmu tasawuf, sufi dan lain-lain: Kitab al-Hakim, Syarab al-Asiqin, Thabit al-Muktadin, Mirat al-Tulab.
    3. Ilmu tahwid: Petunjuk Tentang Membaca al-Qur’an, Tanbihal-Makmun, Sirat al-Qari.
    4. Perundangan, faraid, dan lain-lain: Hukum Warisan dan Perkahwinan, Ilmu Faraid.

 

  • Sastera Undang-Undang dan Ketatanegaraan
    1. Kanun dan undang-undang: Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang
    2. Peraturan dan adat-istiadat: Adat Raja-Raja Melayu.
    3. Ketatanegaraan: Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin.
    4. Hukum adat, termasuk teromba dan tambo.

  

  • Kepustakaan Ilmu Tradisional
    1. Ilmu husab: Ilmu Hisab, Ilmu Hitungan.
    2. Ilmu bahasa: Bustan al-Katibin, Assir al-Hawi fi Ta’lima al-Nahu al-Jawi (Sri Lanka).
    3. Ilmu pertanian: Ilmu Tanaman
    4. Ilmu perubatan, perbomohan: Kitab Tib, Ilmu Mendukun.
    5. Ilmu penujuman: Kitab Bintang, Kutika Ramalan, Rejang Kutika.
    6. Lain-lain: Ilmu Berahi, Rahsia Perempuan.

     

  

Rujukan

Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul Rahman Kaeh & Jamilah Haji Ahmad. 2000. Kesusasteraan Melayu Tradisional Edisi Kedua. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur
No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900

Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable