Muzik

Muzik

Seni muzik merupakan satu cabang seni yang mengandungi bunyi-bunyian yang disusun sama ada melalui suara (vocal), alam semula jadi atau persekitaran dan peralatan yang dihasilkan oleh manusia untuk mengeluarkan bunyi berirama melaluinya. Muzik yang baik mampu memberi gambaran tentang pemikiran, emosi dan adakalanya persekitaran budaya si pencipta muzik itu. Muzik dalam erti kata persembahan adalah sebuah persembahan langsung (terus) yang dihidangkan secara kreatif kepada penonton sama ada dipersembahkan secara solo atau berkumpulan. Seiring perkembangan semasa, kepelbagaian genre seni muzik telah berkembang pesat dan mempengaruhi masyarakat komuniti  di Malaysia namun genre muzik yang bersifat tradisional khususnya bagi masyarakat komuniti Melayu, etnik Sarawak dan Sabah , Orang Asli serta Cina dan India merupakan elemen muzik yang perlu dilindungi dan diwarisi. Misalannya, ensembel nobat dianggap muzik istimewa dan eksklusif kerana merupakan muzik naungan dan hanya dipersembahkan untuk upacara atau majlis istana.

 

 

Gambar menunjukkan persembahan Muzik Nobat

 

Nobat merupakan satu bentuk kumpulan muzik tradisional yang masih diwarisi turun temurun sehingga kini. Ianya merupakan satu bentuk muzik DiRaja yang hanya dimainkan pada masa-masa tertentu oleh pemain-pemain Nobat. Ia dimainkan khas untuk majlis-majlis yang melibatkan raja-raja atau sultan-sultan seperti hari pertabalan dan kemangkatan.