Pilihan Bahasa   

MY
Icon 11 Icon 10 Icon 1 Icon 9 Icon 2 Icon 3 Icon 4 Icon 5 Icon 6 Icon 7 Gmail Icon

Program 9th International Festival of the Intangible Cultural Heritage, Chengdu, China

This is a heading

Image

Program 9th International Festival of the Intangible Cultural Heritage,
Chengdu, China

28 Mei 2025 – telah berlangsung program 9th International Festival of the Intangible Cultural Heritage di Chengdu, China bermula pada 28 Mei hingga 03 Jun 2025. Penganjuran festival ini merupakan kerjasama antara People's Government of Sichuan Province, the Ministry of Culture and Tourism, China dan the National Commission of the People's Republic of China for UNESCO bagi meraikan kepelbagaian serta keunikan warisan kebudayaan tidak ketara dari seluruh dunia.

 

Tema bagi Festival ICH yang diadakan pada tahun ini adalah "Enhancing Exchange and Mutual Learning, Inspiring the Vitality of Inheritance and Sharing a Better Life". Buat julung kalinya, festival ini memperkenalkan mekanisme "Guest Country + Guest City" di mana Malaysia telah dipilih sebagai "Guest Country", manakala Algiers (Algeria), Pulau Pinang (Malaysia), Chiang Mai (Thailand) dan Bari (Itali) diundang sebagai "Guest City". Acara ini telah menghimpunkan hampir 400 peserta terdiri daripada penggiat warisan kebudayaan tidak ketara, pakar, agensi kerajaan, duta diplomatik serta 60 negara dan wilayah termasuk Itali, Rusia dan Jepun. Dianggarkan sebanyak 600 projek Warisan Tidak Ketara (ICH) telah diketengahkan melalui pelbagai bentuk pameran dan persembahan yang menarik sepanjang acara tersebut.

 

Acara peluncuran program 9th International Festival of the Intangible Cultural Heritage telah berlangsung dengan penuh meriah dan melibatkan lebih daripada 2,200 peserta jemputan. Acara ini turut menyerlahkan kepelbagaian budaya melalui penyertaan hampir 1,000 penari serta 50 pasukan persembahan dari 16 buah negara yang bersama-sama menampilkan keunikan warisan dan kebudayaan masing-masing kepada para pengunjung dari seluruh dunia.

 

Ucapan aluan bagi acara tersebut telah disampaikan oleh Mr. Hu Yun, Vice Governor of People‘s Government of Sichuan Province. Manakala, acara peluncuran pula telah disempurnakan oleh Mr. Rao Quan, Vice Minister of Culture and Tourism of the People's Republic of China. YBrs. Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah dijemput sebagai tetamu kehormat (VIP) untuk bersama memeriahkan acara peluncuran gimik perasmian program tersebut.

 

Sementara itu, majlis pembukaan “Guest of Honor Day” turut diadakan di Pavilion Malaysia. Acara ini telah dihoskan oleh Mrs. Cui Yinglan, Deputy General Director of the Bureau of International Exchange and Cooperation of Ministry of Culture and Tourism of the People's Republic of China. YBrs. Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara telah dijemput untuk menyampaikan ucapan aluan bagi membuka majlis. Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara pertukaran cenderamata antara YBrs. Dr. Eyo Leng Yan dan Mr. Shan Gangxin, General Director of the Department of Intangible Cultural Heritage, Ministry of Culture and Tourism of the People's Republic of China sebagai simbolik jalinan kerjasama budaya antara kedua-dua negara.

 

Majlis turut memberi ruang kepada sesi pembentangan yang disampaikan oleh Puan Noraini binti Basri, Kurator Kanan dari Bahagian Daftar Warisan, Jabatan Warisan Negara yang telah berkongsi mengenai topik bertajuk “Guardian of Culture: National Heritage Act 2005 [ACT 645] and the Intangible Legacy.” Majlis diteruskan dengan sesi lawatan ke pameran yang mengetengahkan kekayaan dan keunikan warisan tidak ketara Malaysia.

Dalam pameran tersebut, Jabatan Warisan Negara mempamerkan elemen-elemen Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang telah menerima pengiktirafan daripada UNESCO bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, iaitu Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Songket, Budaya Sarapan di Malaysia, Kebaya (pengiktirafan bersama Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand), Upacara Wangkang (pengiktirafan bersama China) dan Pantun (pengiktirafan bersama Indonesia).

Jabatan Warisan Negara turut menampilkan persembahan Wayang Kulit Kelantan dan demonstrasi pembuatan patung wayang kulit oleh Encik Eyo Hock Seng, Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH). Manakala Encik Eliah Lau Kiing Wang mengadakan demonstrasi makanan warisan dari negeri Sarawak iaitu Manuk Pansuh. 

Pameran ini juga disertai oleh George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan Persatuan Chingay Pulau Pinang yang mempamerkan elemen Chingay serta memberi peluang kepada para pengunjung untuk mencuba menimbang bendera Chingay versi mini. Sementara itu, Galeri Azman Hashim dan Akademi Seni Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menyumbang kepada kepelbagaian bahan pameran dengan mengetengahkan hasil kraftangan dan busana tradisional pelbagai suku kaum dari Sabah.

Penyertaan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam program ini merupakan satu langkah strategik dalam usaha memperkukuh dan mempromosi warisan kebudayaan tidak ketara negara di peringkat antarabangsa. Melalui penyertaan ini, Malaysia berpeluang meningkatkan pengiktirafan global terhadap elemen-elemen warisan yang telah diiktiraf oleh UNESCO, di samping memperluas jalinan kerjasama budaya dengan negara-negara lain. Selain itu, penyertaan ini turut membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik dalam pemeliharaan warisan serta menyokong agenda diplomasi budaya negara secara menyeluruh.

 

Disediakan oleh:

Bahagian Warisan Tidak Ketara

Jabatan Warisan Negara

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanin, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Pilihan Bahasa :
Melayu | English

Peta Laman

Ikuti Kami di Sosial Media