SOALAN DAN JAWAPAN BAGI SOALAN LAZIM
BAHAGIAN WARISAN TIDAK KETARA

 

  1. Apakah takrifan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara?

 

Jawapan:

 

Menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Warisan Kebudayaan Tidak termasuklah mana-mana bentuk ungkapan, bahasa, sebutan lidah, pepatah, lagu yang dihasilkan melalui muzik, not, lirik boleh didengar nyanyian, lagu rakyat, tradisi lisan, puisi, muzik, tarian sebagaimana yang dihasilkan melalui seni pentas, persembahan teater, penggubahan bunyi dan muzik, seni mempertahankan diri, yang telah wujud atau wujud berhubung dengan warisan Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia atau berhubung dengan warisan masyarakat Malaysia.

 

  1. Apakah butiran Warisan Tidak Ketara yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Representative List of Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)?

 

Jawapan:

 

BUTIRAN

TAHUN PENGIKTIRAFAN

 

Mak Yong

2005

Dondang Sayang

2018

Silat

2019

Upacara Wangkang

(Pencalonan secara multinasional bersama negara China)

2020

Pantun

(Pencalonan secara multinasional bersama negara Indonesia)

2020

 

  1. Berapakah kategori Jawatankuasa Pakar di bawah Bahagian Warisan Tidak Ketara?.

 

Jawapan:

 

Terdapat tujuh (7) Jawatankuasa Pakar di bawah Bahagian Warisan Tidak Ketara telah ditubuhkan menerusi Majlis Warisan Kebangsaan. Senarai Jawatankuasa Pakar tersebut adalah seperti berikut:

 

  1. Jawatankuasa Pakar Busana, Tekstil, Seni Hias Diri Dan Kraf
  2. Jawatankuasa Pakar Bahasa Dan Persuratan
  • Jawatankuasa Pakar Seni Persembahan
  1. Jawatankuasa Pakar Permainan Tradisi & Pertahanan Diri
  2. Jawatankuasa Pakar Makanan
  3. Jawatankuasa Pakar Perubatan Tradisional
  • Jawatankuasa Pakar Adat

 

  1. Berapakah jumlah butiran Warisan Tidak Ketara di bawah domain adat dan budaya yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)?.

 

Jawapan:

 

Jumlah butiran adat dan budaya yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan ialah sebanyak 270 butiran mengikut pecahan seperti berikut:

 

  1. Makanan: 213 butiran
  2. Permainan Tradisi: 28 butiran
  • Pertahanan Diri: 2 butiran
  1. Adat dan Budaya: 21 butiran
  2. Perubatan Tradisonal: 6 butiran

 

  1. Apakah contoh butiran kategori busana, tekstil, seni hias diri dan kraf yang telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan?.

 

Jawapan:

 

Tahun 2012: Baju Kurung

Tahun 2015: Telepuk

Tahun 2018: Manik Sarawak

 

  1. Apakah keistimewaan sesuatu butiran warisan kebudayaan tidak ketara apabila diwartakan?.

 

Jawapan:

 

Butiran yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 akan dilindungi dan dipelihara kerana ia menjadi khazanah warisan negara yang tinggi dengan nilai sejarah.

 

Selepas diwartakan, ia akan disusuli dengan usaha-usaha melindungi dan memelihara dengan melibatkan komuniti dan pelbagai program pengembangan.

 

Selepas diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan butiran tersebut boleh dicalonkan sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di peringkat UNESCO di bawah Representative List Of The Intangible Cultural Heritage OF Humanity. Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia.

 

  1. Apakah bidang tugas Cawangan Seni Persembahan, Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara?.

 

Jawapan:

 

Cawangan Seni Persembahan, Bahagian Warisan Tidak Ketara menyelaras dan melaksanakan penyelidikan, pendokumentasian, program pengembangan, perlindungan dan pencalonan Warisan, Warisan Kebangsaan, Warisan Dunia dan Warisan Kebangsaan Orang Hidup yang merangkumi seni persembahan agar ia selaras dan teratur mengikut ketetapan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

 

  1. Apakah teras bidang Cawangan Seni Persembahan, Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara?.

 

Jawapan:

 

Teras utama bidang Cawangan Seni Persembahan, Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara ialah Seni Teater, Muzik, Tarian Tradisional.

 

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH)?.

 

Jawapan:

 

Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) merupakan satu penganugerahan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara kepada para penggiat atau tokoh seni budaya yang mempunyai ilmu dan pengalaman luas dalam bidang-bidang berkaitan warisan tidak ketara seperti adat dan budaya, bahasa dan persuratan, seni halus dan seni persembahan. Anugerah ini akan diisytiharkan oleh Menteri yang dipertanggung-jawabkan mengenai hal-hal kebudayaan dan warisan Malaysia di bawah peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

 

 

  1. Apakah genre butiran yang terdapat dalam kategori bahasa dan persuratan di Bahagian Warisan Tidak Ketara?.

 

Jawapan:

 

Butiran yang terdiri daripada genre puisi dan prosa tradisional Melayu, hikayat, tulisan dan tradisi lisan adalah termasuk dalam katogeri bahasa dan persuratan di Bahagian Warisan Tidak Ketara.