DATO' ARIPIN BIN SAID (LAGU RAKYAT)

TOKOH ORANG HIDUP YANG DIANGKAT DI DALAM PENGISYTIHARAN WARISAN KEBANGSAAN 2015

Beliau dilahirkan pada tanggal 11 Disember 1948, di Kampung Batu Bor, Mukim Bera Temerloh, Pahang. Sejak kecil beliau sering mendengar neneknya bercerita memandangkan beliau dididik dan diasuh oleh neneknya, Zaleha binti Zainal Abidin. Sebagai seorang bidan di mukim Bera, neneknya banyak mengingati cerita-cerita, petua dan ungkapan bahasa yang menarik. Beliau juga dibantu oleh gurunya iaitu Abdullah Hashim Haji Musa untuk memperolehi bahan-bahan bacaan untuk dirujuk.

Kini, beliau merupakan satu-satunya penyanyi lagu-lagu rakyat yang mendapat banyak undangan untuk membuat persembahan di dalam dan di luar negeri.

Dari sudut penerbitan, beliau telah menghasilkan lebih 20 buah novel, antologi cerpen, puisi dan cerita rakyat. Sehingga kini, lebih daripada 200 buah cerpen dan 200 buah puisi telah dihasilkannya. Karya-karyanya tersiar di pelbagai akhbar mingguan dan majalah di tanah air seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Budaya, Mastika, Sarina, Al-Islam, Kiblat, Majalah Sukan, Pemimpin, Sistem Pelajar dan lain-lain lagi.

Sepanjang kegiatan berkarya, Dato’ Aripin telah memenangi beberapa hadiah sastera tanah air yang dikendalikan oleh institusi dan badan-badan tertentu. Antara hadiah yang dimenanginya ialah Hadiah Cerpen Kanak-kanak, Pustaka Kelantan pada tahun 1978, Peraduan Mengarang Cerpen Islam pada tahun 1979; Peraduan Menulis Cerita Lucu Kanak-kanak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1983, Hadiah Sastera Utusan Melayu (Puisi) oleh Public Bank pada tahun 1987, 1990 (cerpen), dan 1991 dan 1992 (cerpen remaja). Bukunya yang berjudul Ceritera Awang Miskin terbitan penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. telah memenangi Hadiah Buku Kebangsaan pada tahun 1990 bagi kategori Klasik Remaja.

Pada 24 Oktober 1990, beliau telah dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Himpunan album foto aktiviti serta peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Jabatan Warisan Negara.

 

QR CODE FacebookBlogRSS webmail.heritage.gov.my

 

Jabatan Warisan Negara
Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia
Blok A & B,Bangunan Sultan Abdul Samad,Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Tel: 03-2604 4800 | Fax:  03-2604 4900| Email: info@heritage.gov.my