Pilihan Bahasa   

MY
                              

Balai Adat Kampung Putera Jelebu

Bangunan Balai Adat biasanya dibina untuk mesyuarat keluarga dan juga untuk aktiviti-aktiviti upacara di dalam sesebuah petempatan. Balai Adat Kampung Putera Jelebu ini, dibina pada tahun 1965 atas keperluan penduduk kampung sebagai dewan untuk aktiviti Masyarakat Kaum Asli seperti upacara bertunang, akad nikah, bersanding dan sebagainya. Bangunan ini pada asalnya berbentuk terbuka seolah-olah sebuah balai yang mempunyai ruang lanai kecil selepas menaiki tangga sebelum memasuki ke dalam bangunan. Lantainya disokong oleh tiang di bawahnya. Bumbungnya juga terdapat ciri-ciri Minangkabau di mana ia mempunyai rekabentuk yang unik kerana ia menyerupai tanduk kerbau. Pada asalnya bumbung yang digunakan adalah berasal dari atap rembia tetapi setelah diubahsuai, bumbungnya telah ditukarkan kepada zink, walau bagaimanapun bentuk bangunan ini tidak berubah.

Bangunan ini telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1966.

Bangunan ini telah mengalami kerja-kerja ubahsuai pada tahun 1993 oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada tahun 1994, bangunan ini telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran untuk digunakan sebagai salah satu tempat keperluannya.

Sehingga tahun 1994, Bangunan ini terbiar kosong dan semakin uzur. Atas usaha Tok Batin Awang Lijon yang merasakan bangunan ini sangat bersejarah dan berharga, beliau telah memohon kepada Kementerian Pelajaran agar hak milik bangunan ini diserahkan kembali kepada penduduk Kg. Putra dan memohon agar bangunan ini dibaikpulih.

Merasakan bangunan ini sewajarnya dipelihara, Bahagian Konservasi Jabatan Warisan Negara telah pun menyenaraikan bangunan ini untuk menjalani kerja-kerja baikpulih agar tidak terus mangalami kerosakan yang serius. Bangunan ini telah dibaikpulih pada 23 Oktober 2008 dan telah siap dibaiki sepenuhnya tanggal 22 Januari 2009. Kerja-kerja pembaikkan merangkumi bumbung dan strukturnya, membaikpulih serta menggantikan dinding dan lantai yang rosak, membaiki motif hiasan dan sebagainya. Bangunan ini akan digunapakai semula oleh Masyarakat Orang Asli untuk aktiviti kemasyarakatan mereka. Dengan adanya Balai ini berupaya mengimarahkan masyarakat orang asli dengan kegiatan kehidupan mereka. Apa yang dapat disimpulkan adalah warisan seni bina sesuatu kaum atau bangsa merupakan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya kehidupan. Pembangunan dan ketamadunan sesebuah negara harus berpaksi kepada warisan silam bagi menjamin kesinambungan kelestarian kehidupan agar nilai budaya dan keseimbangan alam persekitaran dapat diwariskan dari generasi ke generasi.

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service