Language Selection   

EN
                              

Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Kuala Dal, Perak

 

Keadaan masjid setelah dikosongkan pada tahun 1976. Sebelum kerja-kerja konservasi, tahun 2006. Selepas kerja-kerja konservasi, tahun 2009.

Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan hanya 2 km dari plaza Tol Plus masuk ke Kuala Kangsar. Keunikan masjid ini dapat dilihat pada rekabentuk binaannya yang menyerupai seperti sangkar burung. Keunikan masjid dua tingkat ini ialah keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam dipanggil “dinding tepas/tepus” kehalusan seni anyaman tangan kelarai bermotif pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menimbulkan nilai estetika bangunan menjadi tarikan utama kepada siapa yang memandang. Kerja-kerja menganyam dinding tepas ini dilakukan oleh beberapa orang tempatan antaranya ialah Panjang Noh, Ngah Gadoh ,Wan Ibrahim dan Kulop Ngah. Terdapat 20 tingkap berdaun dua yang dihiasi ukiran “tebuk terus, tidak silat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Bumbung masjid ini juga sangat unik kerana tidak mempunyai tebar layar menyebabkan kelihatan seperti bumbung rata yang tidak terpengaruh dengan bumbung Istana Kenangan yang mempunyai ‘satah’ kecerunan yang sangat ketara.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dibina pada 1936. Pembinaannya telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30. Papan plak perasmian yang diperolehi di masjid ini mencatatkan majlis perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat 10 Zulhijjah pada tahun 1356H bersamaan 11 Februari 1938. Ianya dibina setelah Baginda Sultan menunaikan nazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang anakanda baginda sembuh daripada gering. Hasrat Baginda Sultan timbul apabila melihat masyarakat tempatan yang menunaikan solat berjemaah di madrasah di kampung berkenaan setelah pulang dari berkelah di Lata Bubu. Justeru itu, Baginda Sultan bernazar untuk memberi sumbangan wang sebanyak RM 8,000.00 bagi membina sebuah masjid baru di atas sebidang tanah wakaf pemberian Juragan Abdul Shukur bin Mohamad Ali. Pembinaan masjid ini telah dibina oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh penduduk tempatan secara bergotong-royong. Seni bina masjid ini dikatakan datang daripada hasil ilham baginda sendiri yang dipengaruhi kuat ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ragam hias dan dinding tepas yang terdapat di masjid ini juga diukir dan dianyam oleh penduduk tempatan. Masjid ini tidak digunakan pada 1976, setelah masjid baru yang dikenali sebagai Masjid Al-Wahidiah dibina.

Diatas kepentingan bangunan sejarah dan senibina yang unik, pihak Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada Disember 2008. Antara masalah yang dihadapi bagi projek ini ialah penyediaan dinding tepas kerana ketiadaan tukang-tukang yang mahir membuat anyaman serta kekurangan bahan pembuatan iaitu buluh minyak tempatan untuk membuat dinding kelarai. Oleh yang demikian, Jabatan Warisan Negara telah mendapatkan tukang membuat anyaman serta sumber buluh dari Negeri Perlis mengikut jenis yang asal. Kerja-kerja konservasi ini telah dilaksanakan dengan menggunakan tatacara kerja yang sistematik bagi mengekalkan keaslian senibina asal.

 

Keunikan Masjid Lama Kampung Kuala Dal

Keadaan asal dinding kelarai yang diperbuat daripada buluh minyak tempatan sebelum kerja-kerja konservasi dilaksanakan. Kerja-kerja mengukir pada kerawang tingkap dengan menggunakan pahat kecil. Kerawang kepala tingkap labuh bermotif flora.
     
Plak perasmian yang bertulis tarikh perasmian Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Minaret yang telah siap dibaik pulih. Pandangan tingkap, kerawang dan kelarai yang telah siap dibaik pulih..

 

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanine, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service