Pilihan Bahasa   

MY
                              

Bahagian Warisan Dunia

Pengenalan

Bahagian Warisan Dunia diwujudkan untuk mengenengahkan khazanah warisan negara pada peringkat antarabangsa. Selaras dengan matlamat tersebut, Bahagian ini bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelaras hal ehwal hubungan antarabangsa berkaitan warisan bersama agensi atau organisasi di peringkat dunia seperti UNESCO, ASEAN, ISESCO dan lain-lain. Selain berperanan untuk mewujud serta mengukuhkan jaringan kerjasama dan hubungan dua hala di antara negara-negara lain pada peringkat dunia, bahagian ini turut menyelaras urusan berkaitan Jemaah Menteri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Bahagian Warisan Tidak Ketara

WARISAN TIDAK KETARA

         Dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], Warisan Tidak Ketara melibatkan pengekalan warisan yang wujud berhubung dengan warisan Malaysia yang mempunyai nilai estetik yang tinggi. Melihat kepada pengertiannya yang luas,  tugas dan cabaran Jabatan Warisan Negara untuk meningkatkan usaha-usaha  penyeliaan Warisan Tidak Ketara menjadikan semakin besar dan diberi  keutamaan dari tahun ke tahun bagi mencapai matlamat untuk memulihara, memelihara dan mengekalkan warisan negara.
Warisan tidak ketara digerakkan melalui empat (4) cawangan iaitu:
  1. Cawangan Adat dan Budaya merangkumi Adat dan Kepercayaan, Budaya Lingkungan, Adat Kitaran yang melibatkan adat istiadat, makanan, permainan tradisi, perubatan tradisional, seni pertahanan diri;
  2. Cawangan Seni Persembahan merangkumi muzik, tari, seni lakon;
  3. Cawangan Bahasa dan Persuratan merangkumi bahasa, tulisan Jawi, manuskrip, Lagu Rakyat, Cerita Rakyat;
  4. Cawangan Seni Halus dan Kraf merangkumi busana, tekstil, seni hias diri dan kraf (motif ukiran, lukisan, anyaman, sulaman dan tekatan, seramik serta logam).
       
Kesimpulan

       Bahagian Warisan Tidak Ketara mensasarkan setiap program dan aktiviti kepada semua masyarakat seluruh Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan peringkat umur serta dari pelbagai profesion. Golongan paling popular terlibat dan mempunyai minat tinggi dalam program anjuran Jabatan ini adalah daripada kalangan pelajar (IPT atau sekolah), dan termasuk agensi kerajaan, pelancong luar negara dan persatuan seni dan budaya. Tanggungjawab yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Bahagian Warisan Tidak Ketara dalam menjaga dan menyelia Warisan Tidak Ketara adalah selari dengan objektif:
  1. Memulihara, memelihara dan melindungi warisan kebudayaan tidak ketara melalui penyelidikan, pendokumentasian dan menggalakkan kesedaran warisan;
  2. Penjanaan penemuan fakta baru Warisan Tidak Ketara melalui penyelidikan;
  3. Penyebaran pengetahuan tentang Warisan Tidak Ketara melalui program pengembangan agar rakyat menjadi modal insan yang lebih terdidik dan berbudaya.
     Segala keterangan di atas merupakan usaha berterusan dilaksanakan oleh Bahagian Warisan Tidak Ketara yang seiring dengan keseriusan kerajaan dalam melindungi dan memelihara warisan tidak ketara di negara ini hingga ke peringkat pengiktirafan dunia. Malaysia telah meratifikasi Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage 2003 yang diluluskan dalam Persidangan Agung UNESCO 2003 pada 13 Julai 2013. Sebagai negara anggota UNESCO, Malaysia memainkan peranan yang penting dalam usaha memulihara, memelihara, melindungi dan melestarikan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara negara sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Bahagian Daftar Warisan

Pengenalan
 

Bahagian Daftar Warisan (BDW) merupakan bahagian yang melaksanakan fungsi Pesuruhjaya menurut peruntukan dan keperluan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) iaitu penetapan dan pendaftaran tapak, objek dan warisan kebudayaan di bawah air sebagai warisan. Selain itu BDW juga berperanan dalam mewartakan apa-apa butiran warisan dan Orang Hidup yang diisytiharkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebagai Warisan Kebangsaan. Selaras dengan fungsi tersebut, bahagian ini dibahagikan kepada dua (2) cawangan utama iaitu Cawangan Pewartaan dan Cawangan Penguatkuasaan. Pendaftaran butiran warisan merupakan matlamat penting agar rekod warisan negara diwujudkan dan dilindungi undang-undang. Penilaian bagi menentukan signifikasi dan keaslian mana-mana butiran perlu dibuat bagi menjamin integriti sesuatu butiran yang diangkat sebagai warisan.
 
Mana-mana butiran yang mempunyai nilai warisan yang sangat tinggi akan dicadangkan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan. Untuk memastikan proses pewartaan dapat dilaksanakan dengan teratur, cawangan Pewartaan bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan penilaian terhadap tapak kebudayaan (bangunan/monumen), tapak semula jadi dan objek ketara. Tujuan penyelidikan dan penilaian dijalankan adalah untuk menentukan mana-mana butiran dalam senarai inventori/pencalonan mempunyai signifikasi dan keaslian warisan untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pakar bagi pengsyoran kepada Pesuruhjaya Warisan. Setelah butiran warisan diwartakan dan dicatatkan dalam Daftar Warisan Kebangsaan, Cawangan Penguatkuasaan pula bertanggung jawab menjalankan kawalan dan pemantauan bagi memastikan tapak warisan senantiasa dalam keadaan baik dan objek warisan disimpan dalam keadaan yang baik di tempat yang selamat.

Setiap permohonan kebenaran yang dirancang di tapak warisan dan tapak Warisan Kebangsaan perlu mematuhi peruntukan Seksyen 40, Akta Warisan Kebangsaan 2005. Selain itu, Cawangan ini juga bertanggungjawab menjalankan penyiasatan untuk proses pendakwaan sekiranya berlaku apa-apa kesalahan bawah peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005. Cawangan Penguatkuasaan juga bertanggung jawab menilai dan memproses semua permohonan lesen bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 iaitu lesen-lesen penggalian objek warisan, eksport dan import butiran asing, salvaj dan penggalian warisan kebudayaan bawah air dan peniaga butiran warisan. Justeru, bagi memastikan pemahaman dan pematuhan terhadap Akta Warisan Kebangsaan 2005, Bahagian Daftar Warisan memberikan khidmat nasihat dan ceramah bagi mana-mana pihak yang memerlukannya dari masa ke semasa.


 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Income Tax Planning

    View Service