Pilihan Bahasa   

MY
                              

Proses Konservasi

Proses Konservasi

Pelaksanaan sesebuah projek konservasi  melibatkan pelbagai bidang professional dan kepakaran seperti arkitek, juru ukur bangunan, juru ukur bahan, jurutera, ahli sains dan konservator bangunan. Tidak ketinggalan pakar sejarah dan pakar seni yang berperanan menterjemahkan latar belakang sejarah dan karya seni (ukiran, lukisan mural dan elemen hiasan) yang berkaitan. Manakala, kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu dilakukan oleh kontraktor bangunan yang berwibawa dan mempunyai pengalaman yang berkaitan dengan kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan. Ini termasuk tukang mahir, pengukir dan artisan yang mampu memulihara bangunan, elemen dan hiasannya tanpa menjejaskan keaslian (authenticity) bangunan warisan berkenaan. Seorang konservator bangunan yang baik akan membezakan tindakan pemuliharaan dan mengembalikan keaslian asal bangunan berbanding mencantikkan bangunan secara kosmetik. Menambah-nambah rawatan dan pembaikan kepada bangunan supaya kelihatan lebih cantik adalah satu kesalahan besar kerana ia tidak asli dan mengelirukan fakta sejarah sebenar. Maka itu hasil kerja konservasi yang sebegini akan menghilangkan intergrity, authenticity dan nilai warisan bangunan tersebut.

Aktiviti pemuliharaan bangunan warisan adakalanya boleh mendatangkan keburukan lebih dari kebaikan kepada bangunan warisan jika perlaksanaannya tidak mengikut prinsip dan pendekatan konservasi yang betul kerana bangunan tersebut bukan sahaja akan terjejas dari segi keasliannya, hilang nilai warisan tetapi yang lebih malang bangunan warisan tersebut mengalami kerosakan, kecacatan kekal atau musnah. Justeru, adalah sangat penting untuk mengetahui, memahami dan mengamalkan prinsip asas pemuliharaan agar ianya tidak merosakkan bangunan warisan tersebut yang lazimnya bersifat unik dan tidak dapat dicari gantinya apabila mengalami kemusnahan. Antara prinsip-prinsip asas konservasi bangunan warisan yang diamalkan dan dipersetujui antarabangsa khususnya UNESCO (Malaysia adalah negara anggota UNESCO) adalah sebagaimana berikut:   

i. Meminimakan gangguan (intervention) seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan keasliannya.

ii. Mengaplikasi kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenalpasti kandungan dan sifat bahan binaan serta tahap kerosakannya. Keputusan kajian saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan dilakukan kelak.

iii. Menjalankan aktiviti pendokumentasian ke atas kerja pemuliharaan sebelum, semasa dan selepas. Pendokumentasian ini sangat penting bukan sahaja sebagai medium di dalam membuat keputusan tetapi juga sebagai rekod dan bahan rujukan pada masa hadapan.

 

 

Di dalam sesebuah projek pemuliharaan bangunan warisan, satu rangka kerja yang khusus perlu dirancang dan diikuti bagi menjamin perlaksanaannya bersifat menyeluruh dan sistematik. Pada asasnya terdapat sekurang-kurangnya lima peringkat yang penting dipatuhi di dalam rangka kerja ini iaitu:

 

Peringkat Pertama: Penyelidikan Awalan

Penyelidikan awalan merupakan peringkat bagi mendapatkan maklumat tentang bangunan yang hendak dipulihara dan persekitarannya merangkumi aspek sejarah, seni bina, pemilik atau penghuni bangunan dan juga sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang berkaitan. Kesemua maklumat yang diperolehi selanjutnya akan dipersembahkan dalam sebuah laporan lengkap Kajian Awalan. Laporan Awalan ini antaranya akan menjelaskan berkaitan justifikasi keperluan sesebuah bangunan itu untuk dipulihara. Laporan ini merupakan panduan kepada pihak pembuat keputusan bagi menentukan samada bangunan tersebut perlu dipulihara atau sebaliknya.

 

Peringkat Kedua: Kajian Kerosakan (Dilapidation survey)

Kajian dilapidasi (dilapidation survey) merupakan satu kajian yang dilaksanakan ke atas bangunan yang hendak dipulihara dengan tujuan mengenalpasti tahap kecacatan bangunan tersebut. Kajian dilapidasi ini juga bertujuan mengenal pasti punca berlakunya kecacatan bangunan serta mengemukakan cadangan dan kaedah pemuliharaan yang bersesuian. Di dalam kajian ini penggunaan peralatan tertentu dan kaedah pendokumentasian yang teratur adalah penting bagi memastikan hasil kajian ini dapat dijadikan sandaran kepada tindakan selanjutnya atau keputusan berkaitan pendekatan pemuliharaan yang tepat. Peringkat ini juga adakalanya memerlukan hasil kajian makmal sains apabila ujian-ujian tertentu diperlukan.

 

 

 

Peringkat Ketiga: Penyediaan Dokumen Tender

Peringkat penyediaan Dokumen Tender ini merupakan peringkat sangat penting di mana segala keputusan berkaitan pendekatan pemuliharaan telah dicapai oleh anggota profesional projek pemuliharaan yang terlibat. Dalam peringat ini juru ukur bahan akan bekerjasama dengan pihak arkitek dan perunding konservator bangunan dalam menentukan skop kerja dan kesesuaian kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan yang diguna pakai. Hasil daripada perbincangan bersama, juru ukur bahan boleh memastikan anggaran kos projek pemuliharaan bangunan yang dicadangkan. Peringkat ini dianggap kritikal dalam rangka kerja pemuliharaan bangunan kerana kegagalan pihak perunding menentukan anggaran kos keseluruhan projek dengan baik akan menimbulkan implikasi kos bagi sesebuah projek pemuliharaan.

 

Peringkat Keempat: Kerja Pemuliharaan Bangunan

Peringkat ini merupakan peringkat perlaksanaan di mana aktiviti sebenar pemuliharaan akan berlaku. Kontraktor bangunan yang dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu terdiri daripada kumpulan yang terlatih dan berpengalaman luas dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan. Ini adalah kerana peringkat ini memerlukan kepakaran dan kemahiran teknikal yang tinggi dalam perlaksanaannya. Kerjasama rapat dari semua pihak khususnya kumpulan perunding dan kontraktor adalah sangat diperlukan bagi memastikan kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor merupakan tindakan yang tepat sebagaimana keputusan yang telah dibuat. Peringkat ini juga memerlukan aktiviti pendokumentasian yang sistematik dengan merekod keadaan bangunan dalam tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas pemuliharaan bangunan menggunakan kaedah Historical, Architectural and Building Survey (HABS). 

 

Peringkat Lima: Pengurusan dan Penyelenggaraan Tapak Warisan

Pemuliharaan bangunan warisan secara dasarnya merupakan suatu proses yang berterusan dan bukan bersifat one off. Ianya memerlukan satu perancangan dan tindakan yang menyeluruh melalui pelan pengurusan pemuliharaan warisan budaya. Pengurusan yang profesional bukan sahaja diperlukan semasa kerja-kerja pemuliharaan bangunan di tapak tetapi juga selepas bangunan tersebut siap dipulihara dan berfungsi semula seperti biasa. Ia melibatkan usaha-usaha penjagaan, penyelenggaran dan pembaikan bangunan warisan dari masa ke semasa dan dilaksanakan secara berkala. Justeru, bagi memastikan bangunan warisan terus dipulihara dan dijaga dengan baik serta dapat dihayati oleh generasi masa depan, satu pelan  tindakan pengurusan pemuliharaan sesebuah bangunan warisan yang berkesan perlu diwujudkan.

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service