Definisi Konservasi
Konservasi (conservation) bangunan warisan merupakan istilah umum merujuk kepada akitiviti pemuliharaan ke atas bangunan, monumen dan tapak yang merangkumi beberapa aktiviti lain seperti proses pemeliharaan (preservation), pemugaran (restoration), pembaikpulihan (repair and rehabilitation), pembinaan semula (reconstruction) dan penyesuaian guna (adaptively reuse) atau mana-mana gabungan antaranya. Ia juga disebut “pemuliharaan” yang menggabungkan tindakan pemulihan dan pemeliharaan. ICOMOS (Burra Charter Article 1.4, 1999) telah mendefinisikan pemuliharaan sebagai proses memulihara sesuatu tempat supaya kepentingan kebudayaannya dapat dikekalkan.Akta Warisan Kebangsaan, 2005 (Akta 645) menyatakan bahawa ”pemuliharaan” termasuklah pemeliharaan, pembaikpulihan, pembinaan semula, pemulihan dan penyesuaian atau mana-mana gabungannya. ”Pemeliharaan” di bawah Akta 645 ini adalah tindakan yang bertujuan untuk memberhentikan kemerosotan lanjut, reput atau keadaan usang kepada bangunan, monumen dan tapak. Ia termasuklah :
(a) Teknik membantutkan atau memperlahankan proses kemerosotan, reput atau keadaan usang sesuatu butiran atau struktur;
(b) Pembaikan keadaan struktur untuk menjadikan sesuatu struktur selamat, boleh didiami, atau selainnya berguna; dan
(c) Penyenggaraan biasa dan pembaikan kecil yang tidak mengubah atau memudaratkan rupa fabrik atau sejarah sesuatu struktur.
Sehubungan itu inisiatif pemuliharaan atau konservasi bangunan adalah bertujuan untuk :
i. Mengekal dan memperkukuhkan nilai warisan dan nilai sejarah sesuatu bangunan, monumen dan tapak;
ii. Melindungi dan mempastikan bangunan, monumen dan tapak warisan selamat dan kekal untuk tempoh melangkaui beberapa generasi untuk menjadi rujukan, pendidikan dan kenangan kepada generasi masa kini dan akan datang;
iii. Bangunan, monumen dan tapak warisan adalah sebahagian bukti kepada sesuatu peristiwa atau sejarah penting. Ia menjadi latar belakang fizikal kepada cerita sejarah tersebut yang akan disampaikan kepada generasi masa depan. Latar belakang sejarah inilah yang akan membentuk wajah dan jati diri bangsa Malaysia.
iv. Warisan akan menjadi aset penting negara sama ada untuk pendidikan dan untuk pulangan ekonomi melalui industri pelancongan, rujukan R&D dan martabat negara di mata dunia. Warisan yang penting akan dikongsi dengan warga dunia sebagai warisan dunia sejagat seperti mana pengiktirafan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.