Pilihan Bahasa   

MY
                              

Pengenalan

Bahagian  Konservasi  berperanan  memastikan  prinsip konservasi   yang  merangkumi   kerja   pemeliharaan, pembaikpulihan, pembinaan semula, pemulihan, penyesuaigunaan  dan  pendekatan  konservasi  lain-lain  diamalkan berdasarkan   kaedah   yang   diiktiraf   pada   peringkat antarabangsa seperti United Nations Education, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dan piagam bawah International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) seperti Piagam Burra, Piagam Australia 1999 (Charter for the Conservation of Places of Cultural Significance). Ini bagi memastikan ianya selaras dengan kehendak Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan.

Bahagian  Konservasi  dibahagikan  kepada  tiga  (3) cawangan  utama  iaitu  Cawangan  Kajian  Pemuliharaan, Cawangan Pemuliharaan Bangunan dan Cawangan Pelan  Pengurusan  Pemuliharaan  Bangunan. Bahagian  ini bertanggungjawab memastikan pematuhan kepada aspek teknikal  kerja pemuliharaan  dengan  menjalankan  kajian kerosakan pada sesebuah bangunan serta mencadangkan fizikal bangunan. Bahagian Konservasi juga melakukan kajian kerja pembaikan yang perlu dilakukan. Pelaksanaan kajian merangkumi penyediaan pelan lakaran bangunan bagi tujuan pemetaan kerosakan, mengenal pasti punca kerosakan dan seterusnya mencadangkan kaedah pembaikan.

Bahagian Konservasi turut bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan projek konservasi yang dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara dan memberi khidmat nasihat bagi kerja konservasi yang dijalankan oleh agensi lain. Bahagian ini  turut  bertindak  sebagai  urusetia  dalam  penyediaan dokumen Pelan Pengurusan Pemuliharaan bagi bangunan yang telah diwartakan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Dokumen ini merupakan dokumen rujukan bagi aktiviti pembangunan, pengurusan dan penyenggaraan sesebuah bangunan warisan yang terlibat.

Selaras dengan visi dan misi Jabatan, Bahagian ini turut menjalankan  aktiviti  penyebaran  dan  perkongsian  ilmu pemuliharaan bangunan warisan kepada masyarakat umum melalui penganjuran bengkel dan kursus.

Sehubungan itu inisiatif pemuliharaan atau konservasi bangunan adalah bertujuan untuk :

  1. Mengekal dan memperkukuhkan nilai warisan dan nilai sejarah sesuatu bangunan, monumen dan tapak;
  2. Melindungi dan mempastikan bangunan, monumen dan tapak warisan selamat dan kekal untuk tempoh melangkaui beberapa generasi untuk menjadi rujukan, pendidikan dan kenangan kepada generasi masa kini dan akan datang;
  3. Bangunan, monumen dan tapak warisan adalah sebahagian bukti kepada sesuatu peristiwa atau sejarah penting. Ia menjadi latar belakang fizikal kepada cerita sejarah tersebut yang akan disampaikan kepada generasi masa depan. Latar belakang sejarah inilah yang akan membentuk wajah dan jati diri bangsa Malaysia.
  4. Warisan akan menjadi aset penting negara sama ada untuk pendidikan dan untuk pulangan ekonomi melalui industri pelancongan, rujukan R&D dan martabat negara di mata dunia. Warisan yang penting akan dikongsi dengan warga dunia sebagai warisan dunia sejagat seperti mana pengiktirafan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

 

 
Rumah warisan Melaka ini telah dibina oleh pemiliknya Penghulu Abdul Ghani di Merlimau pada tahun 1894. Pemuliharaan bangunan ini pada tahun 2009 oleh Jabatan Warisan Negara akan mengekalkan rumah tradisional Melayu ini untuk abad yang akan datang.

Pelaksanaan sesebuah projek konservasi  melibatkan pelbagai bidang professional dan kepakaran seperti arkitek, juru ukur bangunan, juru ukur bahan, jurutera, ahli sains dan konservator bangunan. Tidak ketinggalan pakar sejarah dan pakar seni yang berperanan menterjemahkan latar belakang sejarah dan karya seni (ukiran, lukisan mural dan elemen hiasan) yang berkaitan. Manakala, kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu dilakukan oleh kontraktor bangunan yang berwibawa dan mempunyai pengalaman yang berkaitan dengan kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan. Ini termasuk tukang mahir, pengukir dan artisan yang mampu memulihara bangunan, elemen dan hiasannya tanpa menjejaskan keaslian (authenticity) bangunan warisan berkenaan. Seorang konservator bangunan yang baik akan membezakan tindakan pemuliharaan dan mengembalikan keaslian asal bangunan berbanding mencantikkan bangunan secara kosmetik. Menambah-nambah rawatan dan pembaikan kepada bangunan supaya kelihatan lebih cantik adalah satu kesalahan besar kerana ia tidak asli dan mengelirukan fakta sejarah sebenar. Maka itu hasil kerja konservasi yang sebegini akan menghilangkan intergrity, authenticity dan nilai warisan bangunan tersebut.
Aktiviti pemuliharaan bangunan warisan adakalanya boleh mendatangkan keburukan lebih dari kebaikan kepada bangunan warisan jika perlaksanaannya tidak mengikut prinsip dan pendekatan konservasi yang betul kerana bangunan tersebut bukan sahaja akan terjejas dari segi keasliannya, hilang nilai warisan tetapi yang lebih malang bangunan warisan tersebut mengalami kerosakan, kecacatan kekal atau musnah. Justeru, adalah sangat penting untuk mengetahui, memahami dan mengamalkan prinsip asas pemuliharaan agar ianya tidak merosakkan bangunan warisan tersebut yang lazimnya bersifat unik dan tidak dapat dicari gantinya apabila mengalami kemusnahan. Antara prinsip-prinsip asas konservasi bangunan warisan yang diamalkan dan dipersetujui antarabangsa khususnya UNESCO (Malaysia adalah negara anggota UNESCO) adalah sebagaimana berikut:

    1. Meminimakan gangguan (intervention) seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan keasliannya.
    2. Mengaplikasi kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenalpasti kandungan dan sifat bahan binaan serta tahap kerosakannya. Keputusan kajian saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan dilakukan kelak.
    3. Menjalankan aktiviti pendokumentasian ke atas kerja pemuliharaan sebelum, semasa dan selepas. Pendokumentasian ini sangat penting bukan sahaja sebagai medium di dalam membuat keputusan tetapi juga sebagai rekod dan bahan rujukan pada masa hadapan.

 

Keadaan dinding kelarai pada bangunan Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Kuala Dal, Perak yang usang dimakan hari

Kerja pemuliharaan yang sedang dijalankan ke atas bangunan masjid yang merangkumi kerja-kerja penggantian dinding kelarai yang telah rosak

 
Dinding kelarai masjid ini dicat warna bendera Negeri Perak berdasar kajian saintifik pada kelarai sedia ada

Di dalam sesebuah projek pemuliharaan bangunan warisan, satu rangka kerja yang khusus perlu dirancang dan diikuti bagi menjamin perlaksanaannya bersifat menyeluruh dan sistematik. Pada asasnya terdapat sekurang-kurangnya lima peringkat yang penting dipatuhi di dalam rangka kerja ini iaitu:

Peringkat Pertama: Penyelidikan Awalan 

Penyelidikan awalan merupakan peringkat bagi mendapatkan maklumat tentang bangunan yang hendak dipulihara dan persekitarannya merangkumi aspek sejarah, seni bina, pemilik atau penghuni bangunan dan juga sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang berkaitan. Kesemua maklumat yang diperolehi selanjutnya akan dipersembahkan dalam sebuah laporan lengkap Kajian Awalan. Laporan Awalan ini antaranya akan menjelaskan berkaitan justifikasi keperluan sesebuah bangunan itu untuk dipulihara. Laporan ini merupakan panduan kepada pihak pembuat keputusan bagi menentukan samada bangunan tersebut perlu dipulihara atau sebaliknya.

Peringkat Kedua: Kajian Kerosakan (Dilapidation survey) 

Kajian dilapidasi (dilapidation survey) merupakan satu kajian yang dilaksanakan ke atas bangunan yang hendak dipulihara dengan tujuan mengenalpasti tahap kecacatan bangunan tersebut. Kajian dilapidasi ini juga bertujuan mengenal pasti punca berlakunya kecacatan bangunan serta mengemukakan cadangan dan kaedah pemuliharaan yang bersesuian. Di dalam kajian ini penggunaan peralatan tertentu dan kaedah pendokumentasian yang teratur adalah penting bagi memastikan hasil kajian ini dapat dijadikan sandaran kepada tindakan selanjutnya atau keputusan berkaitan pendekatan pemuliharaan yang tepat. Peringkat ini juga adakalanya memerlukan hasil kajian makmal sains apabila ujian-ujian tertentu diperlukan.

1) ‘Protimeter’ sejenis alat yang biasa digunakan bagi mengukur kadar kelembapan pada bangunan; 2)‘Crack Detector’ sejenis alat yang berfungsi mengesan dan mengukur keretakan pada bangunan.

 

Menjalankan ‘Kajian Warna’ yang bertujuan mengenal past warna asal bangunan bagi dipadankan dengan warna cat komersil untuk rekod Membuat kerja pengecaman spesis kayu bagi mengenal pasti spesis kayu yang digunakan pada bangunan yang dipulihara

 

Kaedah pendokumentasian bagi kerja pemuliharaan secara Photografi Bersekala yang menggabungkan teknologi photografi dan perisian komputer

Contoh hasil pendokumentasian kerja pemuliharaan secara ‘HABS (Historical Architectural Building Survey) Drawing’



Peringkat Ketiga: Penyediaan Dokumen Tender 

Peringkat penyediaan Dokumen Tender ini merupakan peringkat sangat penting di mana segala keputusan berkaitan pendekatan pemuliharaan telah dicapai oleh anggota profesional projek pemuliharaan yang terlibat. Dalam peringat ini juru ukur bahan akan bekerjasama dengan pihak arkitek dan perunding konservator bangunan dalam menentukan skop kerja dan kesesuaian kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan yang diguna pakai. Hasil daripada perbincangan bersama, juru ukur bahan boleh memastikan anggaran kos projek pemuliharaan bangunan yang dicadangkan. Peringkat ini dianggap kritikal dalam rangka kerja pemuliharaan bangunan kerana kegagalan pihak perunding menentukan anggaran kos keseluruhan projek dengan baik akan menimbulkan implikasi kos bagi sesebuah projek pemuliharaan.

 

Peringkat Keempat: Kerja Pemuliharaan Bangunan

Peringkat ini merupakan peringkat perlaksanaan di mana aktiviti sebenar pemuliharaan akan berlaku. Kontraktor bangunan yang dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu terdiri daripada kumpulan yang terlatih dan berpengalaman luas dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan. Ini adalah kerana peringkat ini memerlukan kepakaran dan kemahiran teknikal yang tinggi dalam perlaksanaannya. Kerjasama rapat dari semua pihak khususnya kumpulan perunding dan kontraktor adalah sangat diperlukan bagi memastikan kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor merupakan tindakan yang tepat sebagaimana keputusan yang telah dibuat. Peringkat ini juga memerlukan aktiviti pendokumentasian yang sistematik dengan merekod keadaan bangunan dalam tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas pemuliharaan bangunan menggunakan kaedah Historical, Architectural and Building Survey (HABS).

 

Kerja menanggal jubin bumbung untuk pencucian dan rawatan Kerja menanggal struktur tambahan yang telah dikenalpasti pada bangunan



Sedang melakukan kerja perawatan ke atas elemen ukiran bangunan

Kerja melepa dan mengemas permukaan dinding menggunakan bahan yang sama dengan asalnya

 

Peringkat Lima: Pengurusan dan Penyelenggaraan Tapak Warisan 

Pemuliharaan bangunan warisan secara dasarnya merupakan suatu proses yang berterusan dan bukan bersifat one off. Ianya memerlukan satu perancangan dan tindakan yang menyeluruh melalui pelan pengurusan pemuliharaan warisan budaya. Pengurusan yang profesional bukan sahaja diperlukan semasa kerja-kerja pemuliharaan bangunan di tapak tetapi juga selepas bangunan tersebut siap dipulihara dan berfungsi semula seperti biasa. Ia melibatkan usaha-usaha penjagaan, penyelenggaran dan pembaikan bangunan warisan dari masa ke semasa dan dilaksanakan secara berkala. Justeru, bagi memastikan bangunan warisan terus dipulihara dan dijaga dengan baik serta dapat dihayati oleh generasi masa depan, satu pelan  tindakan pengurusan pemuliharaan sesebuah bangunan warisan yang berkesan perlu diwujudkan.

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanine, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service