KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH ISTANA BANDAR, JUGRA, KUALA LANGAT, SELANGOR DARUL EHSAN.
Beginilah keadaan Istana Bandar sekitar tahun 1986 setelah ditinggalkan kosong | Astaka yang dibina kecil di atas bumbung dengan dihiasi dengan ukiran papan cantik dan tunjuk langit | Keadaan Istana Bandar kini setelah kerja-kerja baikpulih siap dilaksanakan |
Dari jauh sudah nampak perbezaannya, tinggi dan besar, jelas menunjukkan ini bukan rumah agam biasa tetapi sebuah istana. Istana Bandar merupakan sebuah kompleks istana yang tersergam indah di Bandar yang merupakan bekas pusat pemerintahan awal kerajaan negeri Selangor. Bangunan dengan 40 buah bilik ini juga dikenali dengan nama Istana Alaeddin, dibina pada 1899 semasa pemerintahan Almarhum Sir Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke 5). Istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama permaisuri baginda Hajjah Safiah. Baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun sehinggalah baginda mangkat pada 1938. Di Istana ini juga Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan ke tujuh yang memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan telah ditabalkan pada 1926. Selepas kemerdekaan, Istana Bandar telah ditinggalkan berikutan pusat pentadbiran berpindah ke Kuala Lumpur. Bangunan ini kemudiannya dijadikan Pusat Kraftangan Daerah dan Maahad Tahfiz selama beberapa tahun.
Hampir keseluruhan struktur bangunan ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu chengal. Keseluruhan lantai tingkat atas adalah kayu manakala tingkat bawahnya pula adalah lantai konkrit. Genting bumbungnya jenis genting India profail ‘V’ yang disusun berlapis. Terdapat pinnacles/spike berhias yang terletak di bahagian menara seperti hiasan di bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Struktur bumbungnya juga berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana. Selain itu, ada binaan kecil di tengah bumbung dipanggil astaka yang dihiasi tunjuk langit dan papan cantik di birai bumbung melengkapi ciri pembinaan istana Melayu. Ukiran tebuk dan kerawang bersilang adalah antara penyeri memperlihatkan ketelitian dan kesenian tukang-tukang mahir terdahulu untuk pengudaraan yang baik. Bangunan Istana ini turut dibina bersama-sama dengan tukang-tukang Cina mahir yang menerapkan unsur-unsur seni ukiran dan ragam hias pengaruh Cina. Selain itu binaan bangunan Istana ini juga mempunyai lanskap yang menarik serta kolam-kolam yang terletak di bahagian hadapan istana.
Projek pemuliharaan bangunan mula dilaksanakan pada bulan Disember 2008 sehingga pertengahan tahun 2009 oleh Jabatan Warisan Negara setelah menjalankan kajian awal pada 2007 dan mendapati bahawa bangunan ini perlu dibaiki dan dipulihara demi sejarah dan warisan untuk tatapan generasi akan datang. Antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuklah kerja-kerja pembaikan struktur bumbung dan bumbung serta elamen-elemen bangunan yang diperbuat daripada bahan organik seperti kayu dan papan. Masalah kelembapan juga dirawat dengan menggunakan teknik penggunaan kokun dan suntikan bahan kimia. Kerja-kerja mengikis, merawat dan mengecat semula dinding, lantai dan siling turut dilaksanakan pada keseluruhan bangunan. Kerja penggantian dan merawat atap genting India juga dilaksanakan secara berperingkat. Kerja-kerja baru hanya melibatkan kerja lanskap termasuk binaan laluan pejalan kaki, menanam rumput dan membina kawasan parkir bertar untuk kenderaan pelawat.
Sewaktu kajian awalan dijalankan pada 2007, banyak elemen bangunan telah mengalami kerosakkan antaranya pintu dan tingkap. Keadaan ini telah diatasi dengan menggantikan tingkap kayu yang baru dengan menggunakan bahan yang sama | Beginilah keadaan tingkap yang telah diganti dan dibaik pulih serta di cat |
Beginilah keadaan lantai papan setelah lapisan permaidani dibuka sewaktu kerja-kerja baikpulih sedang dilakukan. Ruang ini asalnya adalah Balairong Seri | Lantai papan yang telah dibaiki disapu dengan lapisan syelek dan tidak ditutupi dengan permaidani kerana ia boleh merosakan papan lantai. Mengikut kajian permaidani dipasang sewaktu bangunan ini dijadikan Maahad Tahfiz |