Pilihan Bahasa   

MY
                              

Convent Taiping, Perak

alt

Sekolah Kebangsaan Convent yang terletak di Jalan Convent ini telah dibina pada tahun 1899. Ia pernah dijadikan “Military Hospital” oleh Tentera Berikat semasa berlakunya Perang Dunia II.

Bangunan tiga tingkat ini dibina dengan gaya seni bina Gothic seperti Convent Bukit Nenas dan lain-lain Convent yang sezaman.

Tingkat 1 dan 2 merupakan bilik-bilik darjah pelajar manakala tingkat teratas digunakan oleh mubalik untuk menempatkan asrama sisters, dewan dan lain-lain kegunaan Convent.

Ia merupakan antara Convent yang tertua di Malaysia dan masih mengekalkan reka bentuk dan fungsi asalnya.

Kerja-kerja Pembaikan dan penyelenggaraan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2008 melibatkan kerja-kerja pembaikan struktur kayu serta rawatan anai-anai dan mengecat semula.

 

Convent of Holy Infant Jesus (Convent Bukit Nanas)

 

Convent Bukit Nanas pada mulanya terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan dibuka untuk murid lelaki dan perempuan.  Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1899 oleh Mother St. Andre, Sister St. Sabine Medeleine dan  kumpulan mubaligh The Sisters of The Holy Infant Jesus dari Singapura.  Pada mulanya bilangan murid sekolah ini ialah seramai 12 orang sahaja  iaitu 7 lelaki dan 5 perempuan.  Selepas dua tahun, jumlah pelajar telah meningkat kepada 80 orang.

Pada tahun 1901, Esq. Goh Ah Gee telah berusaha membeli sebuah bangunan iaitu Victoria Hotel di Brickfields untuk  digunakan sebagai bangunan baru.  Bilangan murid telah meningkat kepada 114 orang pada tahun 1902.  Mata pelajaran yang diajar ialah Karangan, Jahitan, Pendidikan Jasmani, Muzik dan Lukisan.  Pada tahun 1903, peperiksaan Muzik diadakan dan Pendidikan Kesihatan telah diajar sebagai mata pelajaran baru.  Buku-buku teks yang digunakan disediakan oleh kerajaan British.  Pada bulan Disember 1909, beberapa orang murid dicalonkan untuk mengambil peperiksaan Junior Cambridge buat pertama kali. 

Sekolah ini kemudiannya terpaksa berpindah ke Bukit Nanas kerana kawasan Brickfields sering dilanda banjir.  Sebuah bangunan baru dengan gaya seni bina  “English Gothic” telah dibina di bawah pengawasan dua orang arkitek kerajaan iaitu Mr. Huxley dan Mr. Kesteven.  Pada tahun 1911, Sekolah Convent Bukit Nanas dibuka dengan rasminya oleh Mr. E.L, Brockman, Ketua Setiausaha Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.    Pada tahun 1914, dewan dan chapel dibina.  Guru-guru dan para pelajar pada masa itu berketurunan Eropah dan beragama Kristian. 

Ibu-bapa Melayu tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini sehinggalah selepas tahun 1920.  Selepas tahun 1925, barulah terdapat guru keturunan Cina seperti Miss Sobreen,  anak dermawan Loke Chow Kit.  Semasa Perang Dunia Kedua,  pengajian di sekolah ini terganggu dan bilangan pelajar merosot. 

Selepas perang tamat, Reverend Mother St. Adele yang menjadi Guru Besar sejak tahun 1923 telah berusaha memulihkan sekolah ini dengan kerjasama  dengan Pentadbiran tentera British.  Jumlah pelajar semakin bertambah.  Pada tahun 1953, kelas-kelas Sains telah  diperkenalkan dan dua tahun kemudian, Peperiksaan Lower Certificate Of Education (LCE) pula diperkenalkan.   Sebuah Maktab Perguruan telah ditubuhkan di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas pada tahun 1958 dan Sekolah Rendah dipisahkan dari Sekolah Menengah. 

Sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dan memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan dan swasta. Jabatan Warisan Negara telah melaksanakan kerja pembaikan kepada blok utama sekolah ini pada tahun 2008.

 

Victoria Institution, Kuala Lumpur

 

Victoria Institution pada mula dibina di High Street, Kuala Lumpur, kini jalan Hang Tuah dan dibuka secara rasmi pada 30 Kulai 1894. Nama Victoria Institution mengambil sempena nama Ratu Victoria England bagi memperingati Perayaan Jubli Emas Ratu Victoria. Sekolah ini diasaskan oleh Residen british, saudagar bijuh timah Loke Yew, Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Kwan Seng dan ahli perniagaan Thanboonsamy Pillay bagi memenuhi keperluan mewujudkan sekolah Inggeris bagi melahirkan kakitangan yang cekap berbahasa Inggeris untuk mengisi jawatan dalam Kerajaan Tempatan. Bangunan ini direkabentuk oleh firma arkitek terkenal, Swan and Maclaren. Pada tahun 1925 satu tapak baru untuk membina sekolah yang lebih besar bagi Victoria Institution telah dikenalpasti oleh kerajaan iaitu di Bukit Petaling. DY.M.M. Sultan Selangor, Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah telah meletakkan batu asas sekolah Victoria Institution yang baru ini pada 21 September 1927. Bangunan sekolah dengan pelan induk berbentuk 'E' direkabentuk dengan gaya seni bina Art Deco dengan tarikan utamanya adalah menara jam yang mendominasi landskap Bukit Petaling ketika itu. Pada 2 Mac 1929, penuntut Victoria Institution telah berpindah dari High Street ke Bukit Petaling pada 26 Mac 1929, Victoria Institution di Bukit Petaling dirasmikan oleh Sir Hugh Clifford, Pesuruhjaya Tinggi British. Justeru, ia menjadi sekolah menengah pertama di Tanah Melayu. Victoria Institution terletak di No. 71, Jalan Hang Tuah (dahulunya Jalan Shaw), Kuala Lumpur tersohor dengan pasukan kadet yang ditubuhkan pada tahun 1901 oleh guru besarnya yang pertama En. Bennet Eyre Shaw. Beliau juga menubuhkan pasukan pancaragam iaitu Pipe and Bugle Band yang bergabung dengan pasukan kadet. Kini Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria mempunyai Pasukan Infranti Kadet. Kumpulan peninjau Pertama Kuala Lumpur dan pasukan pancaragam yang melonjakkan nama sekolah sebagai sekolah yang berprestij dan mengharumkan nama negara setelah menjadi johan pertandingan pancaragam sekolah-sekolah dunia. Dalam arena sejarah tanah air, sekolah inilah majlis penyerahan rasmi tentera Jepun kepada pihak British pada tahun 1945. Selain itu, Persatuan Alumni Victoria Institution dikenali sebagai Victoria Institution Old Boy's Association (VIOBA) telah ditubuhkan pada tahun 1922. Kebanyakkan alumni sekolah ni menjadi tokoh terkenal negara seperti Tan Sri Ananda Krisnan, Alahyarham Mokhtar Dahari, mantan pemain bola sepak negara, Datuk Dr. Mani jegathesan, Datuk Seri Rafidah Aziz, ahli ekonomi dan mantan menteri, Y.B. Dato' Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Datuk Dr. Ng Yen Yen, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia dan Y.B. Dato' Seri Hj. Mohd Shafie b. Hj. Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Jabatan Warisan Negara telah membaikpulih bangunan sekolah ini pada tahun 2009 dan ia menjadi tempat diadakan Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan oleh Yang Behormat Menteri Perpaduan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun yang sama.

 

Muzium Perak, Taiping, Perak

Semasa Konservasi Selepas Konservasi

Muzium Perak merupakan institusi permuziuman yang tertua di negara ini. Bangunan ini telah dibina atas usaha Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low. Bangunan muzium ini dibina secara berperingkat. Terdapat tiga blok iaitu Blok A (blok utama) yang berhadapan dengan Jalan Taming Sari, manakala Blok B dan Blok C yang menghadap Jalan Muzium. Bangunan Blok A telah dibina pada tahun 1883 dan hanya mula digunakan pada tahun 1886. Kesan daripada percambahan pembinaan bangunan Muzium Perak yang berperingkat-peringkat telah menjadikan rupa bentuk bangunan berbentuk ‘L’.

Seni bina bangunannya menerima pengaruh neo-classical berbentuk elemen-elemen simetri sebagaimana lazimnya bangunan-bangunan di Eropah. Keutamaan difokuskan pada tampak hadapan bangunan yang mempunyai porch. Keseimbangan pada setiap bahagian menegak dan melintang amat dititikberatkan. Ciri-ciri seni bina fasad muzium ini juga meminjam elemen-elemen seni bina zaman Greek klasik dan Roman seperti pediment, entablature dan motif kepala tiang.

Kerja-kerja pemuliharaan ke atas bangunan muzium ini telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sebanyak tiga fasa telah dilaksanakan supaya pelawat-pelawat tetap dapat berkunjung ke muzium walaupun kerja-kerja pemuliharaan sedang dilaksanakan Projek yang bermula pada bulan Disember 2007 ini mengambil tempoh masa 14 bulan untuk disiapkan.

Kerja-kerja utama pemuliharaan bangunan muzium ini ialah mengikis dan mengecat keseluruhan struktur dinding dan merobohkan tandas lama bagi mengekalkan rupa bentuk asal bangunan. Tandas baru pula telah dibina bertentangan dengan Blok C. Penggunaan penghawa dingin secara centralise untuk Blok A dan Blok B, manakala Blok C menggunakan penghawa dingin jenis split unit. Kerja-kerja lain pula ialah membaiki tiang penyokong banguan yang rosak di Blok A dan B. Membuka panel-panel tingkap yang ditutup sebelum ini untuk menghalang kemasukan cahaya ke dalam bangunan. Membaik pulih makmal yang terletak di belakang bangunan Blok A. Bumbung asal bangunan muzium telah ditukar kepada metal corrugated sheet untuk mengelakkan kebocoran dalam jangka masa yang panjang. Kabinet-kabinet yang terletak di dalam Blok B dan C dibaik pulih secara in-situ kerana kesukaran untuk membuka dan memasangnya kembali. Kesemua artifak dan koleksi telah dikeluarkan semasa kerja-kerja pemuliharaan dilaksanakan dan disimpan di kabin sementara yang telah disediakan.Manakala koleksi-koleksi dan artifak yang tidak dikeluarkan telah ditutupi dengan kotak sepanjang tempoh tersebut. Kerja-kerja akhir adalah pengindahan lanskap di sekeliling bangunan muzium.

 

Pelan tapak Muzium Perak, Taiping

 

KERJA-KERJA PEMULIHARAAN MUZIUM PERAK, TAIPING

Kerja-kerja baik pulih struktur tingkap dan tingkap telah dilakukan dengan kemas. Kerja-kerja baik pulih fasad bangunan Blok A sedang dijalankan.
   
Bumbung asal bangunan yang telah ditukar kepada metal corrugated sheet. Kerja-kerja kemasan Blok B yang telah dijalankan dengan sempurna tanpa memindahkan rak-rak pameran koleksi dan artifak.
   
Kerja-kerja kemasan bahagian dalam Blok A yang telah dibuat dengan baik. Pengindahan landskap kawasan muzium yang telah dilaksanakan dengan baik.

 

Bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh, Perak

 

Pandangan dari sudut hadapan bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh, Perak. Ruang koridor di bahagian aras bawah. Ruang di tingkat atas yang telah siap dibaik pulih.

Bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh yang terletak di Jalan Dato’ Sagor sebenarnya merupakan sebahagian bangunan Dewan Bandaran Ipoh (Town Hall) yang kemudiannya dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian hadapan kekal sebagai Dewan Bandaran Ipoh manakala bahagian belakangnya pula dijadikan Pejabat Pos. Bangunan ini terletak berhadapan dengan Stesen Keretapi dan telah didirikan sama waktu dengan Mahkamah Tinggi (di sebelah kanan). Bangunan Pejabat Pos ini direka oleh arkitek British A.B Hubback, mula dibina pada 1913 dan siap pada 1916. Kedudukan bangunan ini adalah di tengah-tengah pusat Bandar lama Ipoh yang merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang utama pada zaman Inggeris. Ia begitu strategik kerana ia berada di jejak rangkaian warisan (Heritage Trail) bangunan bersejarah Bandaraya Ipoh di mana terletaknya bangunan Stesen Keretapi Ipoh, Dewan Bandaran, Masjid Negeri, Ibu Pejabat Polis Trafik, Menara Jam British, bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh dan bangunan-bangunan bank komersial. Kesemua bangunan-bangunan kolonial ini menampilkan gaya seni bina Eropah yang menarik.

Bangunan ini mempunyai seni bina yang unik kerana bercirikan seni bina Roman dan Renaissance. Bangunan dua tingkat ini juga dikelilingi arked terbuka atau verandah di tingkat atas dan bawah. Arked ini dihias dengan tiang dan gerbang separuh bulatan menonjolkan ciri-ciri Greek dan Roman. Dinding verandah (balcony balustrade) di tingkat atas dibina dengan corak victorian yang ringkas. Selain itu, terdapat juga tingkap-tingkap separuh bulat (Arch-headed window) berpanel kaca dibina pada sekeliling bangunan. Perkhidmatan pos di bangunan telah tamat operasi pada tahun 1983 dan bangunan ini telah diambil alih oleh Pusat Pelancongan Negeri Perak sehingga tahun 1995. Sejak dari tahun tersebut bangunan ini telah ditinggal kosong tanpa penyelenggaraan. Sehubungan itu, ia telah mengalami kebocoran dan kerosakan pada atap genting, saluran turun air hujan telah patah, papan lantai mereput, dan pokok telah tumbuh meliar di dalam bangunan menambahkan lagi kerosakan bangunan ini.

Justeru itu, pada tahun 2007, pihak Majlis Dewan Bandaraya Ipoh telah memohon kepada Jabatan Warisan Negara untuk membuat sesuatu terhadap bangunan ini. Setelah diteliti dan dibuat kajian, pihak JWN telah bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja konservasi terhadap bangunan ini. Pada tahun 2009, kerja-kerja konservasi telah dimulakan dan dijangka siap pada tahun 2010 nanti.

 

KERJA-KERJA KONSERVASI PEJABAT POS LAMA IPOH

Pandangan ruang di tingkat bawah. Pandangan di ruang atas. Kelihatan lantai marmar, tingkap dan jerejak tangga yang telah dibaik pulih. Pandangan jarak dekat dari hadapan.
     
Lantai kayu jenis meranti yang telah digantikan dengan yang baru. Lapisan water proofing pada bahagian bumbung rata. Pejabat Pos Lama Ipoh selepas siap dibaik pulih.

 

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Income Tax Planning

    View Service