Pilihan Bahasa   

MY
                              

MANUSKRIP

 

Manuskrip Melayu merupakan suatu warisan ilmu yang telah wujud dari zaman silam yang tiada ternilai harganya. Yang dimaksudkan dengan “manuskrip Melayu” ialah karya-karya yang bertulis tangan, terutama sekali dalam tulisan Jawi yang dihasilkan seawal-awalnya pada akhir abad ke-15 atau dalam lingkungan abad ke-16 dan selewat-lewatnya pada awal abad ke-20.

 

Pada awalnya, permukaan batu dan pahat merupakan peralatan tulisan. Batu bata dan lumpur kering, serta galian seperti besi dan tembaga turut digunakan. Kemudian orang Melayu, atas daya usaha dan kepintarannya, telah membuat kertasnya sendiri daripada kulit kayu dan kertas jenis ini dipanggil daluang. Walaupun daluang lebih tahan lama, tetapi proses membuatnya agak sukar. Dengan itu, penggunaannya terhad. Di samping daluang, turut digunakan juga daun lontar, kepingan buluh, papan, kulit binatang dan kain. Tiap-tiap satunya memerlukan cara penulisan yang berbeza-beza. Dari segi isi pula, hanya yang ringkas ditulis pada daun lontar dan buluh; dan sesuatu yang amat penting dan perlu disimpan lama seperti jurai keturunan keluarga (raja atau kaum bangsawan) dan adat istiadat serta pantang larang, ditulis pada kulit binatang dan kain. Namun, manuskrip yang ditulis di atas bahan seperti ini tidak popular kerana ia bukan tradisi seni penulisan masyarakat Melayu. Orang Melayu mengetahui akan kertas dari pedagang dan pelayar Cina semenjak abad ke-7 lagi, tetapi kertas sebagai permukaan menulis ketika itu merupakan bahan yang sukar untuk diperolehi. Kehadiran kertas Cina dan Arab (oriental paper) merupakan satu nikmat yang tidak terhingga kepada pujangga Melayu. Kedatangan orang Batar ke Nusantara pada abad ke-17 memudahkan perolehan kertas dari Eropah kepada jurutulis manuskrip di Nusantara. Kebanyakkan kertas yang digunakan adalah diimport dari England, Belanda, Itali dan Perancis, China dan negara Arab.

 

Bagi bahan tulisan pula, masyarakat Melayu menggunakan pen dan kalam yang diperbuat daripada batang pokok. Terdapat dua jenis kalam yang digunakan dalam penulisan manuskrip, iaitu kalam resam dan kalam kabung. Kalam resam adalah dari batang pokok resam. Batangnya kukuh dan dengan itu ia murah diraut menjadi mata pena yang halus dan tahan lama. Oleh ekrana pokok resam banyak tumbuh dan mudah untuk didapati maka kalam resam adalah lebih popular. Kalam kabung pula adalah daripada pelbagai pokok palma, terutamanya enau atau kabung. Kalamnya yang keras menjadi kekangan bagi jurutulis menghasilkan tulisan yang cantik. Dakwat diperbuat secara tempatan hasil dari kepintaran orang Melayu. Kebanyakkan dakwat diperbuat daripada jelaga damar dicampur dengan madu dan getah, terutamanya getah pokok gajus. Sumber lain ialah daripada buah majakani. Dakwat warna diperolehi daripada pokok-pokok tertentu, seperti lembayung untuk dakwat berwarna ungu, kulit manggis untuk warna coklat dan kesuma untuk warna merah.

 

Bahan tulisan awal ini malangnya tidak tahan melawan bahana iklim tropika yang menjadi punca utama manuskrip hancur dan reput. Tanpa penjagaan yang rapi himpunan manuskrip Melayu musnah dengan cepat. Kemusnahan manuskrip awal ini juga disebabkan peperangan yang sering berlaku di mana pihak yang menang akan membakar istana dan kota pihak lawan yang kalah. Pada zaman dahulu istana merupakan pusat kegiatan penulsian. Dengan etrbakarnya istana maka terbakarlah himpunan naskah yang tersimpan.

Manuskrip Melayu dalam kelahiran dan perkembangannya berkait rapat dengan perkembangan Islam di rantau ini, kerana melalui Islam masyarakat Melayu telah mencipta tulisan Jawi yang digunakan untuk merakamkan buah fikiran dan cetusan minda intelektualnya.

 

Dengan sendirinya semenjak nenek moyang kita mahir menulis dan membaca tulisan Jawi, beribu-ribu manuskrip telah dihasilkan di berbagai-bagai pusat perkembangan tamadun Melayu di seluruh Nusantara. Pada mulanya istana menjadi pusat perkembagan ilmu dan pusat karang-mengarang dan salin-menyalin. Sesuatu naskah yang ingin dimiliki, diperintah salin pada penulis yang sememangnya mahir menulis dengan menurukan bentuk tulisan yang cantik. Manuskrip itu disimpan dengan cermat, dikelurkan untuk cibara beramai-ramai pada waktu yang tertentu.

 

Manuskrip yang ditulis dan disalin untuk dibaca sebagai alat hiburan di kalangan penghuni istana, bangsawan dan rakyat jelata. Bagi rakyat jelata akan ada tukang bacanya yang akan membacakan dengan nada yang bersesuaian tinggi rendah seolah-olah melakonkan cerita. Selain sebagai alat hiburan, manuskrip juga dihasilkan sebagai bahan rujukan para istana dan bangsawan literati dan ulama.

 

Manuskrip Melayu memperkatakan pelbagai perkara. Tajuk-tajuk yang digunakan seolah-olah mengklasfikasikan manuskrip Melayu itu sendiri. Kata-kata seperti hikayat, syair, kitab, kanun, salasilah dan seumpamanya, yang tertulis pada judul-judul dengan sendirinya menyatakan perkara karya tersebut. Judul perkara yang diliputi oleh manuskrip adalah luas, mencakupi pelbagai aspek kehidupan dan tamadun Melayu. Bentuk prosa dan puisi menjadi wahana bagi penulis menyampaikan ilmu, pengetahuan dan falsafah di smaping prosa digunakan untuk penceritaan hikayat dan pemberian subjek yang lebih berat, seperti undang-undang dan sejarah. Bentuk syair amat digemari oleh orang Melayu. Ada yang memperkatakan tentang sejarah seperti Syair Perang Mengkasar atau mengenai jalan cerita sesuatu watak seperti Syair Siti Zubaidah, malah syair juga banyak digunakan untuk menyampaikan nasihat dan ajaran agama yang kebanyakannya menyentuh tentang tasawuf dan tauhid. Bahasanya yang menarik, susunan ayatnya yanh indah, nada dan iramanya yang memikat hati menyebabkan bentuk puisi ini lebih popular daripada jenis puisi yang ditulis. Berbagai-bagai hikayat, dalam bentuk prosa dan puisi dihasilkan di merata daerah kepulauan Melayu. Untuk kepentingan kaum bangsawan, dieprintah pengarang mengarangkan kisah-kisah bersejarah yang mengemukakan sejarah raja, bangsa dan negara. Tujuannya ialah untuk meninggikan kedaulatan raja, mengekalkan taat setia rakyat, mengelakkan perderhakaan dan pembelotan. Manuskrip mengenai sistem pentadbiran negara dan perundangan ditulis sebagai panduan kepada raja yang memerintah negari berlandaskan sesuatu peraturan yang teratur dan adil. Untuk hiburan dan perintang waktu, tercipta hikayat pelbagai-bagai nama dengan watak-watak putera dan puteri serba indah dan gilang-gemilang, paras rupa yang tiada tolok-bandingnya serta wira yang sentiasa menang dalam segala pertarungan. Tidak ketinggalan penulisan undang-undang dan peraturan negara diperturunkan dalam bentuk tulisan untuk dijadikan panduan pentadbiran. Kitab-kitab agama juga banyak dihasilkan dengan sebarannya yang amat luas untuk menyiarkan syariat Islam yang maha agung itu. Para ulama muktabar tempatan telah berkecimpung dalam bidang penulisan, di samping menyebarkan ilmu pengajian Islam. Bidang perkara yang terakam dalam manuskrip amat luas, mencakupi pelbagai aspek kehidupan dan tamadun masyarakat Melayu. Petua, azimat dan ramalan yang menjadi sumber rujukan hidup masyarakat ketika itu dirakamkan dalam bentuk penulisan. Begitu juga amalan perubatan tradisional Melayu yang menggunakan bahan fauna dan flora alam sekeliling dicampur dengan rempah-ratus untuk dijadikan ubat. Ramuan ini didapati mujarab mengubati pelbagai penyakit dan direkodkan oleh para bomoh atau pawang dalam manuskrip. Pendek kata, berbagai-bagai topik yang menyentuh segala aspek kehidupan masyarakat Melayu yang diabadikan dalam beribu-ribu manuskrip dalam masa lebih kurang empat ratus tahun kebelakang ini.

 

Siti Mariani S.M.Omar. 2002. Warisan Manuskrip Melayu: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service