Pilihan Bahasa   

MY
                              

Balai Adat Kampung Putera Jelebu

Bangunan Balai Adat biasanya dibina untuk mesyuarat keluarga dan juga untuk aktiviti-aktiviti upacara di dalam sesebuah petempatan. Balai Adat Kampung Putera Jelebu ini, dibina pada tahun 1965 atas keperluan penduduk kampung sebagai dewan untuk aktiviti Masyarakat Kaum Asli seperti upacara bertunang, akad nikah, bersanding dan sebagainya. Bangunan ini pada asalnya berbentuk terbuka seolah-olah sebuah balai yang mempunyai ruang lanai kecil selepas menaiki tangga sebelum memasuki ke dalam bangunan. Lantainya disokong oleh tiang di bawahnya. Bumbungnya juga terdapat ciri-ciri Minangkabau di mana ia mempunyai rekabentuk yang unik kerana ia menyerupai tanduk kerbau. Pada asalnya bumbung yang digunakan adalah berasal dari atap rembia tetapi setelah diubahsuai, bumbungnya telah ditukarkan kepada zink, walau bagaimanapun bentuk bangunan ini tidak berubah.

Bangunan ini telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1966.

Bangunan ini telah mengalami kerja-kerja ubahsuai pada tahun 1993 oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada tahun 1994, bangunan ini telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran untuk digunakan sebagai salah satu tempat keperluannya.

Sehingga tahun 1994, Bangunan ini terbiar kosong dan semakin uzur. Atas usaha Tok Batin Awang Lijon yang merasakan bangunan ini sangat bersejarah dan berharga, beliau telah memohon kepada Kementerian Pelajaran agar hak milik bangunan ini diserahkan kembali kepada penduduk Kg. Putra dan memohon agar bangunan ini dibaikpulih.

Merasakan bangunan ini sewajarnya dipelihara, Bahagian Konservasi Jabatan Warisan Negara telah pun menyenaraikan bangunan ini untuk menjalani kerja-kerja baikpulih agar tidak terus mangalami kerosakan yang serius. Bangunan ini telah dibaikpulih pada 23 Oktober 2008 dan telah siap dibaiki sepenuhnya tanggal 22 Januari 2009. Kerja-kerja pembaikkan merangkumi bumbung dan strukturnya, membaikpulih serta menggantikan dinding dan lantai yang rosak, membaiki motif hiasan dan sebagainya. Bangunan ini akan digunapakai semula oleh Masyarakat Orang Asli untuk aktiviti kemasyarakatan mereka. Dengan adanya Balai ini berupaya mengimarahkan masyarakat orang asli dengan kegiatan kehidupan mereka. Apa yang dapat disimpulkan adalah warisan seni bina sesuatu kaum atau bangsa merupakan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya kehidupan. Pembangunan dan ketamadunan sesebuah negara harus berpaksi kepada warisan silam bagi menjamin kesinambungan kelestarian kehidupan agar nilai budaya dan keseimbangan alam persekitaran dapat diwariskan dari generasi ke generasi.

 

Masjid Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Keadaan bangunan sebelum kerja bermula pandangan dari arah hadapan Keadaan bangunan semasa kerja dijalankan pandangan dari arah hadapan Keadaan bangunan selepas kerja selesai dijalankan pandangan dari arah hadapan

Binaan masjid lama ini pada asalnya bukan dibina khusus sebagai sebuah masjid tetapi merupakan binaan sebuah Balairong Seri yang digunakan untuk aktiviti penghadapan raja yang dimiliki oleh Raja Dewa. Raja Dewa merupakan gelaran kepada Tuan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang putera kepada Sultan Muhammad III dan saudara kandung Sultan Muhammmad IV. Kedudukan asal bangunan ini adalah di kawasan perkampungan raja di Kota Bharu yang terletak berhampiran dengan Istana Jahar dan Istana Balai Besar. Namun pada tahun 1958, ianya telah dibeli oleh penduduk Kampung Kedai Mulong dengan harga RM 1000 dan dipindahkan ke Kampung Kedai Mulong untuk digunakan sebagai surau hingga ke hari ini. Struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong. Balairong Seri itu kemudiannya dipasang semula secara gotong-royong dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk. Beberapa penambahan baru dilaksanakan dari semasa ke semasa sehinggalah mengubah rupa bentuknya yang sebenar. Namun hasil daripada lawatan yang dilakukan oleh Dato’ Pesuruhjaya Warisan pada tahun 2007 dan setelah melihat betapa indahnya seni pertukangan Melayu yang boleh dipaparkan kepada masyarakat hari ini, dan juga dari segi sejarahnya yang merupakan sebahagian istana DiRaja Kelantan, Jabatan Warisan Negara, telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja konservasi terhadap bangunan ini. Kerja-kerja konservasi telah dimulakan pada penghujung tahun 2008 dan telah siap pada awal tahun 2009. Memandangkan banyak perubahan dan binaan baru yang kurang sesuai dilakukan secara berperingkat ke atas bangunan ini, pemuliharaan secara keseluruhan dilaksanakan bagi mengembalikan rupa bentuk asalnya. Proses awal adalah mengikis dan mengecat semula pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada genting jenis singgora Thailand. Beberapa kerja baru juga dilaksanakan iaitu anjung hadapan, papan pemeleh bumbung serta perabung konkrit berbentuk ‘ekor itik’ diperincikan lagi dengan reka bentuk baru berdasarkan ciri seni bina DiRaja Kelantan. Semasa kerja-kerja mengikis cat lama di bahagian atas panel janda berhias atau dinding asal balairong seri, pekerja-pekerja terjumpa lukisan mural berkerawang emas berbentuk bunga. Ukiran bunga ini dikekalkan agar sejarah balairong seri tidak hilang. Sebanyak tiga batang tiang penyokong yang using ditukar baru dan enam lagi tiang penyokong ditambah bagi mengukuhkan struktur bangunan. Bangunan ini juga dianjakkan ke hadapan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah chain-lock berikutan tapaknya terkeluar daripada lot tanah wakaf. Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan penuh berhati-hati. Bangunan ini juga diangkat dan diletakkan di atas pelapik tiang konkrit untuk menjaga keutuhan tiang-tiang kayu penyokong bangunan ini daripada rosak. Antara kerja-kerja lain bagi bangunan ini adalah membina tempat wuduk di bahagian sisi kanan dan tandas di bahagian sisi kiri masjid, kerja-kerja memagar kawasan dan mengindah lanskap sehaingga tampak berbeza daripada keadaan sebelumnya. Kini selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih Masjid Lama Kedai Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya. Kemuncak legasi masjid ini ia telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 5 Julai 2009.

 

Lukisan mural berkerawang air emas yang ditemui pada buah buton Buah buton yang dipasang pada alang kerangka bumbung Kerja-kerja mengikis dan merawat panel kerawang jejala sedang dilaksanakan
Keadaan panel kerawang jejala setelah kerja merawat siap dijalankan Lukisan mural air emas berkerawang emas ditemui pada dinding panel janda berhias yang sewaktu kerja-kerja mengikis cat Kayu-kayu yang rosak telah dikenal pasti dan ditanda untuk diganti baru
Kerja memotong dan menggantikan kayu yang rosak sedang dilakukan Kerja-kerja peralihan bangunan dijalankan menggunakan khidmat tenaga manusia Kerja-kerja peralihan bangunan menggunakan chain-lock yang ditarik oleh pekerja
     
Kerja-kerja mengankat bangunan sedang dijalankan Kerja-kerja meletakkan pelapik konkrit di bawah tiang penyokong bangunan Kelihatan sebahagian atap genting senggora yang siap dipasang
     
Kerja-kerja memasang papan pemeleh pada struktur bumbung Ruang berwuduk didirikan di bahagian kanan bangunan untuk kegunaan jemaah lelaki Tandas bagi kegunaan jemaah lelaki didirikan di bahagian kiri manakala untuk jemaah wanita di dalam bahagian berpagar.
     
Kelihatan anjung yang di reka bentuk baru didirikan setentang dengan dengan lanskap kecil yang menarik

Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Kuala Dal, Perak

 

Keadaan masjid setelah dikosongkan pada tahun 1976. Sebelum kerja-kerja konservasi, tahun 2006. Selepas kerja-kerja konservasi, tahun 2009.

Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan hanya 2 km dari plaza Tol Plus masuk ke Kuala Kangsar. Keunikan masjid ini dapat dilihat pada rekabentuk binaannya yang menyerupai seperti sangkar burung. Keunikan masjid dua tingkat ini ialah keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam dipanggil “dinding tepas/tepus” kehalusan seni anyaman tangan kelarai bermotif pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menimbulkan nilai estetika bangunan menjadi tarikan utama kepada siapa yang memandang. Kerja-kerja menganyam dinding tepas ini dilakukan oleh beberapa orang tempatan antaranya ialah Panjang Noh, Ngah Gadoh ,Wan Ibrahim dan Kulop Ngah. Terdapat 20 tingkap berdaun dua yang dihiasi ukiran “tebuk terus, tidak silat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Bumbung masjid ini juga sangat unik kerana tidak mempunyai tebar layar menyebabkan kelihatan seperti bumbung rata yang tidak terpengaruh dengan bumbung Istana Kenangan yang mempunyai ‘satah’ kecerunan yang sangat ketara.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dibina pada 1936. Pembinaannya telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30. Papan plak perasmian yang diperolehi di masjid ini mencatatkan majlis perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat 10 Zulhijjah pada tahun 1356H bersamaan 11 Februari 1938. Ianya dibina setelah Baginda Sultan menunaikan nazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang anakanda baginda sembuh daripada gering. Hasrat Baginda Sultan timbul apabila melihat masyarakat tempatan yang menunaikan solat berjemaah di madrasah di kampung berkenaan setelah pulang dari berkelah di Lata Bubu. Justeru itu, Baginda Sultan bernazar untuk memberi sumbangan wang sebanyak RM 8,000.00 bagi membina sebuah masjid baru di atas sebidang tanah wakaf pemberian Juragan Abdul Shukur bin Mohamad Ali. Pembinaan masjid ini telah dibina oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh penduduk tempatan secara bergotong-royong. Seni bina masjid ini dikatakan datang daripada hasil ilham baginda sendiri yang dipengaruhi kuat ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ragam hias dan dinding tepas yang terdapat di masjid ini juga diukir dan dianyam oleh penduduk tempatan. Masjid ini tidak digunakan pada 1976, setelah masjid baru yang dikenali sebagai Masjid Al-Wahidiah dibina.

Diatas kepentingan bangunan sejarah dan senibina yang unik, pihak Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada Disember 2008. Antara masalah yang dihadapi bagi projek ini ialah penyediaan dinding tepas kerana ketiadaan tukang-tukang yang mahir membuat anyaman serta kekurangan bahan pembuatan iaitu buluh minyak tempatan untuk membuat dinding kelarai. Oleh yang demikian, Jabatan Warisan Negara telah mendapatkan tukang membuat anyaman serta sumber buluh dari Negeri Perlis mengikut jenis yang asal. Kerja-kerja konservasi ini telah dilaksanakan dengan menggunakan tatacara kerja yang sistematik bagi mengekalkan keaslian senibina asal.

 

Keunikan Masjid Lama Kampung Kuala Dal

Keadaan asal dinding kelarai yang diperbuat daripada buluh minyak tempatan sebelum kerja-kerja konservasi dilaksanakan. Kerja-kerja mengukir pada kerawang tingkap dengan menggunakan pahat kecil. Kerawang kepala tingkap labuh bermotif flora.
     
Plak perasmian yang bertulis tarikh perasmian Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Minaret yang telah siap dibaik pulih. Pandangan tingkap, kerawang dan kelarai yang telah siap dibaik pulih..

 

 

Istana Sultan Abu Bakar (Muzium) Pekan, Pahang

Sebelum Kerja Konservasi Semasa Kerja Konservasi Selepas Kerja Konservasi

Bangunan bersejarah ini telah dibina pada tahun 1929 sebagai kediaman Residen Britsh bagi menggantikan bangunan kayu asal yang dibina pada tahun 1888. Sewaktu Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dijadikan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Dalam tahun 1948, bangunan ini dibaik pulih dan dijadikan istana bersemayam Al-Marhum Sultan Abu Bakar. Baginda menjadikannya sebagai Istana Rasmi Negeri dan diberi gelaran nama “Istana Kota Beram” menggantikan Istana Sri Terentang. Istana Kota Beram telah mengalami perubahan pada tahun 1954 dengan pembinaan bangunan sambungan untuk kegunaan sebagai "Balairong". Pada tahun 1959-1965, Istana baru dibina berhampiran kawasan Istana Terentang untuk persemayaman D.Y.M.M Sultan Pahang. Oleh itu, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah mengambil alih bangunan ini pada 17 Mac 1976 untuk dijadikan Muzium Negeri Pahang dan dibuka dengan rasminya pada 21 Oktober 1976 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah dengan diberi nama “Muzium Sultan Abu Bakar”.

Secara amnya, struktur binaan Bangunan Muzium Sultan Abu Bakar ini mengambungkan dua sistem binaan iaitu Sistem Dinding Tanggung Beban dan Sistem Tiang dan Alang. Sistem Dinding Tanggungan Beban merupakan sistem binaan dinding yang lazimnya digunakan pada binaan bangunan sebelum teknologi konkrit bercerucuk diperkenalkan. Pada bangunan muzium ini sistem struktur ini diaplikasi pada bahagian utama bangunan. Ketebalan dinding adalah di antara 12" hingga 14" dan ia terbina daripada ikatan batu bata yang dilepa. Manakala Sistem Alang dan Tiang ini diaplikasi untuk menyokong bahagian verandah dan juga anjung terutamanya di tingkat satu. Tiang bangunan ini bersaiz 1'6" digunakan untuk menyokong struktur yang terdiri dari rasuk di atasnya.

Struktur bumbung bangunan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu bumbung curam dan bumbung rata. Bumbung curam menutup keseluruhan ruang tengah dan anjung bumbung dengan genting tanah liat merah manakala bumbung rata konkrit tetulang terdapat di bahagian serambi belakang.

Terdapat dua jenis tangga di dalam bangunan ini iaitu tangga batu dan tangga kayu. Tangga batu dibina di pintu utama dan terdapat tangga batu baru yang dibina di bahagian belakang dimana ia digunakan untuk menghubungkan bangunan ini dan pejabat manakala tangga kayu dibina untuk menghubung antara tingkat satu dan tingkat dua.

Kesemua pintu adalah kayu termasuk jenangnya dan ketinggiannya 90" dan lebar berbeza bergantung pada jenis pintu dan ruangnya. Kesemua elemen tingkap termasuk bingkai dan daun tingkap adalah dibuat daripada kayu. Tingkap-tingkap ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian atas diperbuat daripada kepingan kaca manakala bahagian bawah menggunakan kayu keras.

Sepanjang penggunaan bangunan, sama ada digunakan sebagai istana atau muzium, beberapa elemen di bangunan ini telah melalui perubahan mengikut keperluan pada waktu tersebut. Antara yang ketara dapat dilihat ialah bahagian serambi di tingkat atas dimana ruang antara tiang telah ditutup dengan tingkap ram kayu sepanjang fasade hadapan. Di antara skop kerja untuk projek konservasi di bangunan ini ialah menanggalkan komponen tingkap di ruang koridor keseluruhannya untuk mengembalikan semula tampak asal keadaan bangunan ini. Walau bagaimanapun oleh kerana bangunan ini digunakan sebagai galeri sebuah muzium, keperluan penghawa dingin bangunan ini perlu dipertimbangkan. Sebagai penyelesaian, bahagian ini akan ditutup dengan kaca jernih untuk tujuan hawa dingin. Selain itu, kompenan lain yang melibatkan skop kerja konservasi utama ialah menggantikan papan lantai dengan jenis kayu dan ukuran papan yang sama seperti asal bagi kedua-dua tingkat bangunan kerana sebahagian besar papan lantai telah mengalami kerosakan.

 

ANTARA KERJA-KERJA KONSERVASI YANG DILAKSANAKAN

Pandangan Muzium Sultan Abu Bakar dari jalan utama Ukiran yang mempunyai ciri-ciri kediaman Kolonel British masih jelas kelihatan Pandangan fasad bangunan dari sisi kiri
     
Ruang koridor tingkat atas diletakkan kaca jernih untuk tujuan penghawa dingin Tangga kayu utama sedia ada disyelek bagi menyerlahkan keasliannya Bahagian serambi tingkat atas ditutup dengan tingkap ram kayu sepanjang fasad

 

Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat

KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH ISTANA BANDAR, JUGRA, KUALA LANGAT, SELANGOR DARUL EHSAN.

Beginilah keadaan Istana Bandar sekitar tahun 1986 setelah ditinggalkan kosong Astaka yang dibina kecil di atas bumbung dengan dihiasi dengan ukiran papan cantik dan tunjuk langit Keadaan Istana Bandar kini setelah kerja-kerja baikpulih siap dilaksanakan

Dari jauh sudah nampak perbezaannya, tinggi dan besar, jelas menunjukkan ini bukan rumah agam biasa tetapi sebuah istana. Istana Bandar merupakan sebuah kompleks istana yang tersergam indah di Bandar yang merupakan bekas pusat pemerintahan awal kerajaan negeri Selangor. Bangunan dengan 40 buah bilik ini juga dikenali dengan nama Istana Alaeddin, dibina pada 1899 semasa pemerintahan Almarhum Sir Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke 5). Istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama permaisuri baginda Hajjah Safiah. Baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun sehinggalah baginda mangkat pada 1938. Di Istana ini juga Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan ke tujuh yang memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan telah ditabalkan pada 1926. Selepas kemerdekaan, Istana Bandar telah ditinggalkan berikutan pusat pentadbiran berpindah ke Kuala Lumpur. Bangunan ini kemudiannya dijadikan Pusat Kraftangan Daerah dan Maahad Tahfiz selama beberapa tahun.

Hampir keseluruhan struktur bangunan ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu chengal. Keseluruhan lantai tingkat atas adalah kayu manakala tingkat bawahnya pula adalah lantai konkrit. Genting bumbungnya jenis genting India profail ‘V’ yang disusun berlapis. Terdapat pinnacles/spike berhias yang terletak di bahagian menara seperti hiasan di bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Struktur bumbungnya juga berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana. Selain itu, ada binaan kecil di tengah bumbung dipanggil astaka yang dihiasi tunjuk langit dan papan cantik di birai bumbung melengkapi ciri pembinaan istana Melayu. Ukiran tebuk dan kerawang bersilang adalah antara penyeri memperlihatkan ketelitian dan kesenian tukang-tukang mahir terdahulu untuk pengudaraan yang baik. Bangunan Istana ini turut dibina bersama-sama dengan tukang-tukang Cina mahir yang menerapkan unsur-unsur seni ukiran dan ragam hias pengaruh Cina. Selain itu binaan bangunan Istana ini juga mempunyai lanskap yang menarik serta kolam-kolam yang terletak di bahagian hadapan istana.

Projek pemuliharaan bangunan mula dilaksanakan pada bulan Disember 2008 sehingga pertengahan tahun 2009 oleh Jabatan Warisan Negara setelah menjalankan kajian awal pada 2007 dan mendapati bahawa bangunan ini perlu dibaiki dan dipulihara demi sejarah dan warisan untuk tatapan generasi akan datang. Antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuklah kerja-kerja pembaikan struktur bumbung dan bumbung serta elamen-elemen bangunan yang diperbuat daripada bahan organik seperti kayu dan papan. Masalah kelembapan juga dirawat dengan menggunakan teknik penggunaan kokun dan suntikan bahan kimia. Kerja-kerja mengikis, merawat dan mengecat semula dinding, lantai dan siling turut dilaksanakan pada keseluruhan bangunan. Kerja penggantian dan merawat atap genting India juga dilaksanakan secara berperingkat. Kerja-kerja baru hanya melibatkan kerja lanskap termasuk binaan laluan pejalan kaki, menanam rumput dan membina kawasan parkir bertar untuk kenderaan pelawat.

 

Sewaktu kajian awalan dijalankan pada 2007, banyak elemen bangunan telah mengalami kerosakkan antaranya pintu dan tingkap. Keadaan ini telah diatasi dengan menggantikan tingkap kayu yang baru dengan menggunakan bahan yang sama Beginilah keadaan tingkap yang telah diganti dan dibaik pulih serta di cat
   
Beginilah keadaan lantai papan setelah lapisan permaidani dibuka sewaktu kerja-kerja baikpulih sedang dilakukan. Ruang ini asalnya adalah Balairong Seri Lantai papan yang telah dibaiki disapu dengan lapisan syelek dan tidak ditutupi dengan permaidani kerana ia boleh merosakan papan lantai. Mengikut kajian permaidani dipasang sewaktu bangunan ini dijadikan Maahad Tahfiz

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Income Tax Planning

    View Service